‘Tak baca komen netizen, saya ada banyak benda nak buat’

SELEBRITI popular Liyana Jasmay berlapang dada dengan kritikan diutarakan pendakwah bebas PU Syed yang menegur penampilan seksinya menjurus ke arah keburukan.

Liyana, 37, berkata, dia tidak akan sewenang-wenangnya melenting hanya kerana berdepan kritikan. Baginya, itu semua adalah lumrah bergelar anak seni.

Apa sahaja komen yang baik atau buruk, saya terima dengan hati terbuka.

“Tidak pernah terdetik rasa marah atau sakit hati. Saya terima segala teguran. Semoga doa yang bagus akan berbalik semula kepada saya serta mereka yang mendoakan,” katanya HibGlam usai majlis pelancaran single terbaharunya, Terluka di sini hari ini.

Ujar pelantun lagu Aku Tak Percaya Cinta itu lagi, selagi kritikan tidak melibatkan orang tuanya, dia akan sentiasa berlapang dada dengan setiap teguran dan memaafkan sesiapa sahaja.

Yang bercakap buruk pun, saya maafkan. Tolonglah tegur kalau saya ada buat silap kerana saya tak pernah ambil hati kecuali mereka sentuh fasal ibu bapa,” katanya lagi.

Ditanya sama ada dirinya tahu tentang kritikan terbuka dilontarkan PU Syed, jawab Liyana, dia jarang membaca pendapat orang dalam media sosial melainkan diberitahu orang sekeliling.

“Saya tidak baca sebarang komen dalam media sosial, itu hak mereka.

Sebagai selebriti, setiap orang ada hak untuk menyuarakan pendapat. Jadi apa sahaja yang ingin katakan terpulang pada diri sendiri. Saya tidak mahu menghalang atau marah.

“Saya tidak baca komen netizen sebab saya ada banyak benda nak buat. Biasanya orang sekeliling yang akan maklumkan pada saya (apa yang berlaku),” katanya lagi.

Sebelum ini, Liyana berdepan kecaman hebat berikutan penampilannya yang dikatakan terlalu seksi, namun dia memilih untuk menerima setiap teguran netizen dengan hati terbuka.

Liyana juga secara jujur mengakui dirinya memang gemar bergaya seksi, namun tetap menjadikan nasihat yang baik sebagai panduan untuk memperbaiki diri pada masa akan datang.

Susulan itu, kenyataan Liyana menerima respons daripada PU Syed yang mengingatkan tentang hukum halal dan haram serta menilai tindakan berlandaskan panduan agama.

Menurut Syed, sesiapa yang memulakan sesuatu amalan buruk akan menanggung dosa bukan sahaja untuk dirinya, tetapi juga bagi setiap individu yang mengikutinya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok