PELAKON dan penyanyi Daiyan Trisha menegaskan dirinya tidak pernah meletakkan syarat ‘poket tebal’ sebagai kayu ukur dalam memilih pasangan.
Ujar Daiyan atau nama penuhnya, Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin, 32, dia lebih selesa berdikari tanpa perlu bergantung kepada sesiapa.
Mahu lelaki poket tebal? Tak mengapa, poket saya sendiri pun dah tebal, tak perlu cari lelaki berharta. Saya seorang wanita yang kuat dan berdikari.
“Seperkara lagi, saya lebih mudah bila berkenalan secara depan-depan, bukan sekadar dalam talian.
“Kebanyakan orang yang saya rapat belum tentu berakhir dengan percintaan. Kalau ada vibe dan personaliti serasi, bolehlah berkawan dulu. Tapi kalau sekadar hantar mesej peribadi, itu terlalu minimum. Tak payahlah,” katanya.
Mengulas mengenai ciri lelaki idaman, pelantun lagu Penat itu menegaskan dirinya tidak cerewet soal umur mahupun status namun apa yang lebih memikat hatinya adalah sifat kelakar.
“Okey sahaja, tua atau muda. Saya tak kisah.
Tapi saya perlu akui bahawa saya sangat sukakan lelaki kelakar. Orang kelakar memang dekat dengan jiwa saya,” ujarnya.
Meskipun tidak menolak kehadiran cinta, pelakon Projek: High Council itu lebih memilih untuk memberi tumpuan kepada kerjaya seni yang mekar berkembang.
“Ramai cuba mendekati saya. Ada juga mesej dalam media sosial ajak keluar makan dan sebagainya tetapi saya lebih selesa berkawan dengan semua orang, terutama peminat.
Cuma saya rasa tak perlu terlalu beria untuk cuba menawan hati saya sekarang kerana fokus utama saya tetap pada karier. Kalau bertepuk sebelah tangan, nanti jadi tak seronok,” tuturnya.
Terdahulu, Daiyan menafikan dirinya sudah mendirikan rumah tangga dan bergelar isteri keempat kepada golongan kenamaan seperti didakwa dalam sebuah ruangan pojok.
Hanya mampu tergelak, mengakui sudah lali dan gosip sebegitu tidak lagi menjadi beban buat dirinya. – HIBGLAM