SEAKAN-AKAN lautan cahaya yang gemerlap di tengah ibu kota, malam pertama Konsert Suria Wow Malaysia di Taman Tasik Titiwangsa benar-benar membuktikan bahawa festival tersebut tidak sekadar tentang alunan muzik.
Sebaliknya, acara berkenaan adalah pesta rakyat, lambang suara kolektif generasi dan nadi yang menyatukan semua orang dengan sentuhan seni.
Pada pentas pembukaan, penyampai-penyampai Suria tampil menghidupkan suasana dengan lagu Zapin Usik Mengusik, dendangan asal kumpulan Senario.
Aura persembahan itu bukan sahaja mengimbau memori, malah membuka tirai dengan penuh meriah, seakan-akan memberi isyarat bahawa penonton bakal disajikan perjalanan seni yang pelbagai rona.

TIDAK keterlaluan andai dikatakan konsert tersebut berjaya merapatkan jurang tradisi dan kontemporari, serta membuktikan hiburan masih menjadi nadi penyatu bangsa.
Kemeriahan terus memuncak apabila Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris, muncul dengan Dikir Puteri.
Sorakan khalayak bergema, ribuan penonton berdiri, menari, dan menyanyi bersama. Detik tersebut membuktikan bahawa muzik tradisional masih utuh, tidak tenggelam di tengah gelombang pop global.
Kebetulan malam minggu dan esoknya cuti Hari Malaysia, suasana di Titiwangsa bertukar bagai sebuah karnival.
Daripada kanak-kanak hingga warga emas, semua larut dalam satu gelombang hiburan yang menyatukan sekali gus menjadi nadi pertemuan rakyat di tengah kota.
Rentak kemeriahan kemudian dipacu penyanyi Santesh menghidupkan pentas dengan Amalina sebelum memperkenalkan lagu Tamil baharunya berjudul Penne Nee Lai Lai.
Meskipun masih segar di pasaran, keberanian membawakan karya sendiri menunjukkan keyakinan seniman generasi muda untuk terus berdiri dalam arus industri yang mencabar.
Tidak terhenti di situ, Aisha Retno hadir dengan vokal bertenaga. Lagu Samudera, Sutera, Tak Adil dan Sampai Menutup Mata membuatkan pentas seperti berubah menjadi gelanggang emosi.
Nyanyiannya berlapis perasaan, membuatkan penonton basah dalam keindahan melodi, seolah-olah setiap bait menyentuh relung jiwa paling dalam.
Tidak memberi ruang untuk penonton bernafas, Amsyar Leee pula hadir dengan rangkaian Rasa Sayang Sayang, Ru Yuan dan Never Enough.
Keberanian menggabungkan lagu rakyat, Mandarin dan antarabangsa memperlihatkan spektrum bakat yang jarang dimiliki penyanyi muda tempatan membuatkan khalayak terpaku, kagum dengan keluasan vokal serta keupayaan adaptasinya.

KONSERT malam pertama Suria Wow Malaysia adalah gabungan gah dan seribu rasa, keberanian menampilkan variasi muzik dan bakat baharu wajar dipuji.
Getaran kemudian bertukar ke jalur indie apabila kumpulan Fugo muncul di pentas. Trio yang membawa konsep nu-vintage itu meletup dengan Balada Kala Hujan, Salleh Wake Up dan Pentas Sandiwara.
Energi mereka bagaikan letusan retro futuristik, membuktikan bahawa muzik alternatif Malaysia mampu mendobrak sempadan persepsi.
Malam kedua
Malam kedua Suria Wow Malaysia di Tasik Titiwangsa terus dimeriahkan dengan persembahan artis tanah air yang berjaya menarik pelbagai generasi untuk sama-sama berhibur.
Acara dibuka dengan persembahan penyampai Suria FM iaitu Ajak, Fad, Chiwan, Kai, Cik Piah dan Irsyad yang membawakan lagu Joget Sayang Disayang.
Meskipun disampaikan dengan gaya santai, orang ramai tetap berseronok pada permulaan persembahan.
Suasana semakin meriah apabila Marsha tampil mendendangkan lagu Sandakan Sabah bersesuaian dengan negeri kelahirannya.
Persembahan Marsha lengkap dengan penampilan penari wanita yang menggayakan busana tradisional negeri bawah bayu.
Tidak lama selepas itu, kumpulan K-Town Clan membakar pentas dengan lagu Chak Chun Chak dan Make My Body Go, membuatkan ramai penonton berdiri dan sama-sama menari.
Turut memukau, persembahan bertenaga daripada Ratu Dangdut tempatan, Amelina, yang menyanyikan rangkaian lagu popularnya Memori Daun Pisang, Semakin Rindu Semakin Asyik, Rindu dan Asyik.
Meskipun sudah berusia 51 tahun, vokal mantap serta aksi lincah Amelina tetap memikat.
Malah, dia sempat menanggalkan kasut tumit tinggi dan turun ke bawah pentas untuk menyapa peminat, sekali gus membuatkan suasana lebih gamat.
Bagi menyemarakkan semangat patriotisme, Ara Johari kemudian tampil dengan lagu Standing In The Eyes Of The World sebelum mengalunkan beberapa seleksi balada menyentuh jiwa seperti Sepi Sekuntum Mawar Merah, Warkah Untukmu dan Menjaga Jodoh Orang Lain.

VOKALIS ikonik, Mamat Exists hanya perlu menyanyi untuk membuatkan pengunjung terpukau lalu terheret emosi lagu-lagu malar segar seperti Janji Padamu, Langkah Seiringan, Rahsia Pohon Cemara dan Mengintai.
Sebagai penutup, kemunculan Mamat Exists membawa nostalgia dengan lagu-lagu malar segar seperti Janji Padamu, Langkah Seiringan, Rahsia Pohon Cemara dan Mengintai Dari Tirai Kamar, menutup tirai konsert dengan penuh bergaya.