Karl Shafek ‘angkut’ 300 sukarelawan bersihkan pantai

LEBIH dua tan sampah berjaya dikutip di Pantai Tanjung Gosong, Pekan, Pahang hasil inisiatif pengacara Karl Shafek bersama 300 sukarelawan yang menganjurkan Gotong Royong Sakan, pada minggu lalu.

Menurut Karl atau nama sebenarnya Khairul Shafek Ibrahim, 45, usaha tersebut dilakukan selepas melihat pantai di kampung halamannya teruk tercemar.

“Saya kerap berada di Pekan sejak Aidilfitri lalu kerana menjaga ayah yang uzur. Apabila melihat keadaan Pantai Tanjung Gosong yang cantik tetapi tercemar dengan sampah, saya terpanggil untuk bertindak.

Saya gunakan media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram untuk menyeru sesiapa yang ada kesedaran agar bersama-sama membersihkan pantai ini.

“Tak sangka, sambutan yang diterima begitu menggalakkan,” katanya.

Malah, pengasas jenama fesyen jalanan Neonate Clothing Company itu juga teruja apabila program tersebut diserai ratusan sukarelawan sekali gus membuktikan kesedaran mereka terhadap kebersihan alam sekitar.

Saya sangat gembira kerana peserta hadir bukan semata-mata kerana hadiah, tetapi sebab kesedaran menjaga kebersihan alam kurniaan Allah SWT untuk kita dan generasi akan datang,” ujarnya lagi.

Program komuniti sulung itu turut dimeriahkan kehadiran selebriti seperti Nurkhiriah dan Ieda Moin yang sama-sama turun padang membersihkan pantai.

Diadakan pada 16 September lalu, Gotong-Royong Sakan mendapat sokongan Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib.

Selain itu, penganjuran turut mendapat kerjasama Kelab Anak Muda Perbandaran Pekan dan KRT Pantai Tanjung Gosong.

Acara berkenaan bukan sahaja mengeratkan silaturahim antara belia dan sukarelawan dari dalam serta luar Pekan, malah turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pekan, Mohd. Nasir Jusoh. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok