Mereka sebenarnya dah cuak, mula buat drama – Zizi Kirana

PENYANYI Zizi Kirana lantang menyuarakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin apabila mengecam propaganda rejim Israel yang mendakwa misi Global Sumud Flotilla kononnya berhubung dengan kumpulan militan.

Ujar Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil, 40, fitnah tersebut sekadar helah bagi menutup kezaliman berterusan rejim zionis ke atas Gaza.

“Penjajah Israel sekarang sibuk sebarkan propaganda kononnya Global Sumud Flotilla gerakan pengganas di bawah Hamas.

“Allahuakbar!,” katanya dalam Thread.

Tambah pelantun lagu Eh itu, misi flotilla terbabit sama sekali tidak berunsurkan keganasan, sebaliknya membawa bekalan asas buat penduduk Gaza yang terhimpit dengan sekatan berlarutan.

“Hello Israel laknatullah, kami datang bawa susu formula bayi, makanan, ubat-ubatan dan keperluan lain untuk saudara kami di Gaza yang dizalimi. Kebenarannya, kamulah pengganas sebenar!

“Israel laknatullah ini sebenarnya sudah cuak. Mereka mula cipta drama.

“Kalian kena sebarkan lagi kepada dunia bahawa Global Sumud Flotilla ini misi kemanusiaan, non-violence, bukan keganasan,” tegasnya.

Kenyataan Zizi segera mendapat perhatian netizen yang membanjiri ruangan komen dengan doa serta sokongan moral.

“Bangga lihat Zizi berani suarakan kebenaran walaupun nyawa jadi taruhan,” tulis seorang pengguna media sosial.

“Semoga misi ini dipermudahkan dan seluruh pasukan dilindungi Allah,” komen seorang pengikut.

“Terima kasih Zizi kerana menjadi suara rakyat Malaysia di pentas dunia,” ujar seorang peminat.

Difahamkan, isteri kepada aktor Yusuf Bahrin itu kini berada di atas kapal menuju ke Gaza selepas berlabuh di Sidi Bou Said, Tunisia.

Misi bersejarah itu dijangka tiba di perairan Gaza dalam tempoh lapan hingga 10 hari.

Selain Zizi, pelakon dan usahawan Ardell Aryana turut menggalas cabaran sama bersama 15 lagi wakil Malaysia yang selamat tiba ke Tunisia selepas belayar dari Sepanyol. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok