Kumpulan Lot 17 Mencari Sinar

KENDATIPUN hanya dikenali di bumi Terengganu, kumpulan muzik Lot 17 kini mengorak langkah lebih besar apabila melancarkan single sulung berjudul Mencari Sinar. 

Karya pop balada ala era 90-an itu menjadi taruhan untuk menembusi arus perdana buat pertama kali selepas sekian lama hanya mengiringi acara rasmi di pentas negeri kelahiran mereka.

Lagu ciptaan RossBai (lirik) dan Jatt Aziz (melodi), dengan susunan muzik serta penerbitan oleh komposer prolifik Zul 2by2, bukan sekadar buah tangan baharu sebaliknya lambang semangat tujuh anak seni di bawah panji Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang selama ini dikenali sebagai kombo rasmi unit kebudayaan.

Dianggotai Tuan E-zat (vokalis), Lie (gitar utama), Lan Asbu (gitar kedua), Nazz (bass), Amer Ameroll (dram), Boy (keyboard) dan Armadd (biola), keunikan Lot 17 terletak pada keberanian mereka memadukan elemen moden serta klasik. 

Malah, kumpulan ini pernah mengiringi persembahan legenda tanah air termasuk Datuk Awie di Mekar Fest 2025, sekali gus menambah kilauan pada reputasi.

Menurut vokalisnya, Tuan E-zat yang juga juara Bintang Nescafé 2012, pelancaran Mencari Sinar menjadi titik tolak baharu buat perjalanan seni mereka. 

“Kami sangat teruja dan gembira dengan projek ini. Sebelum ini kami hanya membuat persembahan di belakang kaca televisyen.

“Kali ini kami secara rasmi menembusi dunia mainstream buat pertama kali, mempertaruhkan lagu Mencari Sinar.

“Kalau di Terengganu kami memang dikenali dan menerima banyak undangan. Namun untuk dunia mainstream, kami masih baharu. Semoga ada peluang dan lagu ini diterima baik,” katanya kepada HibGlam.

Sokongan turut hadir daripada penaja utama, Datin Sharifah Salwa Syed Shafie selaku pengasas Casalwa yang terpaut hati sebaik menyaksikan persembahan Lot 17 secara langsung. 

“Saya berharap Mencari Sinar dapat berdiri sebaris dengan lagu popular lain serta menjadi halwa telinga masyarakat.

“Bakat Lot 17 harus diketengahkan kerana mereka mempunyai pakej lengkap, vokal mantap serta barisan pemuzik berkualiti.

“Sejak pertama kali melihat persembahan mereka di Terengganu, terus saya jatuh cinta. Ini projek pertama bersama mereka dan saya yakin ia bukan yang terakhir,” ujarnya.

Sementara itu, penerbit lagu berkenaan, Zul 2by2 melihat kolaborasi bersama Lot 17 sebagai pengalaman bermakna yang membuka ruang mengangkat semula semangat muzik era 90-an. 

Katanya, keistimewaan utama kumpulan itu terletak pada vokal Tuan E-zat yang sarat nostalgia.

“Saya sangat tertarik dengan suara Tuan E-zat yang membawa vibe klasik 90-an.

“Sejurus mendengar rakaman awal yang mereka hasilkan, ia terus mengingatkan saya kepada era keemasan muzik ketika itu, begitu segar dan dekat di hati pendengar.

“Berdasarkan kelebihan itu, saya hasilkan susunan muzik mudah diterima khalayak tetapi masih mengekalkan identiti tersendiri agar Mencari Sinar tampil berbeza,” tuturnya.

Tidak hanya berhenti pada penghasilan lagu, Zul turut menegaskan usaha promosi dan strategi pemasaran akan dijalankan secara menyeluruh agar karya tersebut tidak sekadar menjadi hiburan sementara. 

Sebaliknya, Mencari Sinar diharap mampu bertahan lama, dikenang dan terus hidup dalam jiwa pencinta muzik tanah air.

Dengan semangat baharu ini, Lot 17 membuktikan bahawa kumpulan lahir dari akar budaya negeri juga mampu berdiri gah di pentas arus perdana. 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok