SUASANA syahdu menyelubungi Idea Live Arena, di sini ketika Rabbani mendendangkan lagu Pergi Tak Kembali dalam segmen tribute di Konsert Intifada Rabbani, malam tadi.
Didedikasikan buat anggota kumpulan nasyid kontemporari itu yang sudah tiada termasuk Ustaz Asri Ibrahim, karya ciptaan Edry Abdul Halim nyata mengundang hiba hampir 5,000 penonton.
Bait seni kata berkaitan kehilangan seseorang cukup menyentuh hati peminat terutama yang menyaksikan keakraban kesemua tunjang utama Rabbani sejak ditubuhkan tiga dekad lalu.
Lebih sebak apabila montaj dan video Ustaz Asri yang menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung pada 2019 selain foto Allahyarham Nazrul Azhar dan Azizan Halid dipertontonkan di skrin putih.
Selain Pergi Tak Kembali, konsert yang berlangsung selama dua jam itu turut membariskan lebih 20 seleksi lagu malar segar yang meletakkan Rabbani di tempat tersendiri di persada muzik perdana tanah air.
Antara repetoire termasuk Teman Sejati, Assalamualaikum, Anak Soleh, Satu Qiblat Yang Sama, Berpaut Pada Sabdamu, Syahadah serta Husnul Khatimah.
Sebelum itu, mereka menjentik emosi sebaik memperdengarkan lagu Di Pondok Indah yang pernah dibawakan ketika masih di bawah nama Nada Murni.
Dialunkan bersama anak keempat Allahyarham Ustaz Asri iaitu Muhammad Ilham Fikri, ada dalam kalangan penonton menitiskan air mata dek terlampau sayu menghayati bait liriknya.
Aeydan yang ditubuhkan sejak empat tahun lalu dikatakan sebagai penyambung legasi Rabbani, bahkan turut diundang sebagai artis jemputan pada konsert terbabit.
Malam yang menyaksikan perhimpunan penggemar irama nasyid kontemporari itu turut bermakna dengan kemunculan rakan seperjuangan, Yabang dan kumpulan Brothers.
Bukan hanya menghiburkan, tunjang Rabbani iaitu Zulkiflee Azman, Ahmad Syafie, Asri Ubai, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Muhammad Loqman Abd Aziz serta Azadan Abdul Aziz serta Hamzah Hasyim turut berkongsi perjalanan karier mereka sejak 1997.
Sebelum menutup tirai, dendangan ikonik yang menjadi siulan sejak diterbitkan lebih sedekad lalu iaitu Intifada melengkapkan persembahan mega tersebut, sekali gus menggamit nostalgia manis buat khalayak. – HIBGLAM