‘Rasa diterima, orang Malaysia sangat mesra’

KEMUNCULAN dalam filem seram Indonesia, KKN Di Desa Penari sebenarnya  meninggalkan impak hebat buat pelakon Aghniny Haque. Tidak hanya di Tanah Jawa namanya terbang singgah sehingga ke Malaysia.

Sejak KKN Desa Penari, beberapa naskhah lakonannya seperti Pemandi Jenazah dan Tuhan dan Izinkan Aku Berdosa turut meraih sambutan hangat. 

Rentetan kejayaan tersebut, Aghniny beroleh peluang membintangi filem Khadam, sekali gus menandakan penampilan sulungnya dalam produksi Malaysia.

Aktres berusia 26 tahun itu berkata, dia tertarik dengan kekuatan skrip yang penuh emosi sehingga tidak mampu menolak tawaran tersebut.

“Apabila baca skripnya buat kali pertama, saya rasa sangat tersentuh. 

“Selepas baca skrip itu, saya tak boleh berhenti. Jadi saya rasa kalau tak ambil peluang ini berlakon di Malaysia, tak akan ada lagi. 

“Jadi saya terima walaupun dengan insecurities saya yang sangat banyak seperti bahasa Melayu yang belum fasih tapi untungnya saya bekerja dengan pasukan yang bagus,” katanya kepada HibGlam.

Menurutnya lagi, watak Melor yang dipegangnya dalam Khadam memberi cabaran besar kerana memerlukan dia keluar daripada zon selesa.

“Saya belum pernah membawakan watak seperti Melor, jadi cabarannya besar serta bebannya juga sama kerana saya harus tampil bagus untuk Indonesia dan Malaysia.

“Melor sangat berbeza dengan saya. Dalam kehidupan sebenar, saya belum bernikah, manakala Melor pula ibu kepada dua anak yang hidup dalam ketakutan,” katanya lagi. 

Demi Khadam dan Melor, Aghniny sanggup berkampung di Malaysia selama tiga bulan sepanjang penggambaran berlangsung. Katanya, pengalaman lebih indah apabila dirinya berasa selesa dengan penerimaan masyarakat di sini.

“Saya rasa diterima dengan masyarakat  di sini yang mesra. Saya juga suka bahasanya dan sudah tentu makanannya.  

“Saya sangat bangga dan sangat bersyukur terbabit dalam projek ini kerana saya memang ingin sekali bekerjasama dengan produksi Malaysia,” ujarnya.

Meskipun sering ditawarkan naskhah seram, bekas atlet taekwando itu itu menolak gelaran ‘Ratu Horror’ kerana lebih selesa dilihat sebagai pelakon versatil.

“Saya bukan mahu dikenali sebagai Ratu Horror. Saya percaya bahawa sesuatu imej itu bukan kerana saya yang memilikinya tetapi bagaimana orang melihat tentang saya. 

“Kalau orang suka saya berlakon filem seram, tidak mengapa. Kalau orang suka saya dalam filem aksi, juga tiada masalah. Saya gembira selagi penonton suka,” katanya. 

Bercakap mengenai Khadam, filem yang arahan Shamyl Othman yang berlatarkan era 1950-an itu menggabungkan kisah mistik Nusantara dengan sinematik sarat emosi.

Kerjasama sulung rumah produksi Red Communications bersama Komet Productions tersebut mengisahkan Melor yang terpaksa mewarisi saka keluarga, pewarisan spiritual gelap dan mistik selepas ibunya meninggal dunia. 

Apabila saka mula menguasai hidupnya, Melor terdesak menyelamatkan anak perempuannya daripada mewarisi ilmu entiti ghaib tersebut.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok