Penyeksaan ‘siapa’ Aunt Ophelia, kebarangkalian Wednesday dikhianat

 

SEBAGAI peminat jenama The Addams Family, musim kedua drama popular Netflix, Wednesday terus membuatkan ramai audiens tidak sabar menantikan musim ketiga yang mungkin hanya akan dilancarkan dua tahun lagi (2027).

Otak geliga Tim Burton terus membentangkan interpretasi The Addams Family dari sudut pandang utama watak Wednesday lakonan Jenna Ortega.

Dari segi jalan cerita, sinematografi dan perihal teknikal penting lain, memang tidak dapat dinafikan Wednesday terkandung kualiti yang mudah menangkap nilai komersial dan merupakan antara produk Netflix yang paling berjaya.

Lady Gaga sempat ‘cameo’ sebagai Rosaline Rotwood dalam Wednesday musim kedua.

Enggan terlalu memberikan bocoran awal (spoiler) kepada penonton, penulis hanya akan menukilkan beberapa harapan dan jangkaan untuk musim ketiga yang akan bertemu peminat lagi dua tahun.

Antara yang membuatkan ramai ‘terduduk’ dan bertepuk tangan pada musim kedua adalah episod keenam yang menyaksikan Wednesday dan rakan baiknya, Enid (Emma Myers) bertukar badan.

Penonton dapat melihat variasi bakat lakonan luar biasa Jenna dan Emma. Masing-masing melantunkan peranan dengan sempurna. Wednesday yang terkenal dengan jelingan maut dan sikap dingin tiba-tiba menjadi ‘Enid’ yang periang dan sukakan rona berwarna-warni.

Lakonan mantap

Wednesday terkinja-kinja menari dengan latar muzik Boombayah (Blackpink) antara perihal yang penulis tidak terjangka menjadi realiti dalam ‘bingo card’ 2025.

Sinergi lakonan Jenna dan Emma masing-masing sebagai Wednesday dan Enid kian menjadi-jadi dalam Wednesday musim 2.

Enid juga tidak kurang hebatnya mengembalikan ‘apresiasi’ dengan melakonkan karakter Wednesday dengan cukup meninggalkan dampak.

Adegan Enid bermain instrumen cello yang lazimnya dimainkan Wednesday, cukup mempesona. Luar biasa.

Musim kedua juga menyaksikan beberapa karakter baharu yang diperkenalkan termasuklah Agnes lakonan Evie Templeton. Agnes merupakan ‘superfan’ Wednesday yang mencuba sedaya upaya untuk menjadi rakan karib remaja itu di Nevermore Academy.

Penulis tidak tahu tentang orang lain, tetapi karakter Agnes seperti ada udang di sebalik batu. Tidak mustahil pada musim ketiga nanti, Agnes akan berpaling tadah daripada Wednesday disebabkan obsesi melampau Agnes terhadapnya.

Sudah terukir dalam minda sekarang, Agnes ingin menjadi satu-satunya rakan Wednesday selepas Enid ‘memilih’ jalan sendiri demi menyelamatkan nyawa Wednesday pada hujung episod kelapan musim kedua.

Enid kini berdepan kemungkinan hidup kekal sebagai serigala selama-lamanya selepas menyelamatkan Wednesday.

Watak lain yang baru diperkenalkan adalah Rosaline Rotwood lakonan Lady Gaga. Biarpun seketika, sudah ada teori bertebaran mengatakan Gaga akan kembali pada musim ketiga kelak.

Ophelia

Kalau bukan sebagai Rosaline Rotwood, ada peminat berpendapat, Gaga mungkin akan memainkan karakter Aunt Ophelia. Jika versi OG, pelakon sama yang melakonkan karakter Morticia dan Ophelia. Tidak mustahil juga Catherine Zeta-Jones melakonkan kedua-dua karakter musim akan datang.

Musim kedua juga memperlihatkan perkembangan karakter The Addams Family termasuklah Pugsley, Uncle Fester dan Gomez Addams. Kita juga ‘diajarkan’ dari mana asal usul Thing dan sebagainya.

Wednesday 2 lebih ‘dark’ umpama teka silang kata tiada penghujung yang merenjat adrenalin penonton atau pemuja jenama The Addams Family. Andai musim ini lembaran kertas jawapan peperiksaan, penulis tidak akan akan teragak-agak memberi markah 85/100.

 

 

 



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok