DUNIA hiburan Korea sentiasa hidup dengan warna-warni, namun tidak pernah lekang daripada kisah air mata.
Tahun 2025 menyaksikan deretan rumah tangga selebriti ternama runtuh bak istana pasir dihentam ombak.
Ada yang terpaksa berpisah selepas puluhan tahun hidup bersama, ada pula tumbang sekelip mata walau baru mendirikan mahligai.
Fenomena ini membuktikan bahawa glamor serta sorakan peminat tidak menjamin bahagia dan di sebalik sorotan kamera, selebriti tetap manusia biasa dengan luka dan ujian rumah tangga.
Setiap pengumuman perceraian ibarat bom waktu yang meledak dalam media sosial, mencetuskan gelombang simpati dan perdebatan hangat.
Peminat berbelah bahagi antara kecewa, terkejut dan cuba memahami keputusan idola mereka.
Kimchi Panas minggu ini menampilkan empat selebriti Korea yang mencetuskan kehebohan apabila memilih jalan perpisahan, meskipun ada antaranya sudah menempuh usia perkahwinan lebih dua dekad.
- Kim Bo-ra
Hanya selepas 11 bulan melayari bahtera rumah tangga, pelakon Kim Bo-ra dan sutradara Jo Ba-reun memilih untuk menoktahkan ikatan perkahwinan mereka.
Padahal, pasangan itu pernah melalui tiga tahun episod percintaan sebelum mendirikan rumah tangga pada Jun 2024.
Menurut agensi Noon Company, perceraian terjadi setelah perbincangan panjang dan akhirnya kedua-dua mencapai kata sepakat untuk berpisah dengan damai.
Berita tersebut mengejutkan khalayak kerana usia perkahwinan mereka masih seumur jagung malah ramai peminat menyifatkan hubungan Kim Bo-ra dan Ba-reum ibarat bunga indah yang gugur sebelum sempat berkembang sepenuhnya.
Pun begitu, sikap matang kedua-duanya menerima kegagalan rumah tangga dilambung pujian sekali gus membuktikan bahawa melepaskan kadangkala lebih mulia daripada bertahan dalam luka.
- Shin Go-eun & Yoon Jong-hwa
Percintaan manis dua pelakon tersebut bermula di lokasi penggambaran, kemudian mekar ketika dunia dilanda pandemik.
Shin Go-eun dan Yoon Jong-hwa akhirnya berkahwin pada Mei 2021, menjadikan mereka simbol cinta yang lahir di tengah krisis global.
Namun, hanya tiga tahun selepas lafaz janji suci, hubungan tersebut retak dan musnah di tengah jalan.
Pada 1 Mei 2025, aktres berusia 39 tahun itu mengumumkan dalam media sosial bahawa mereka berpisah kerana perbezaan karakter yang tidak dapat disatukan.
Peminat yang pernah menyanjung pasangan ini sebagai lambang cinta sejati kini terpaksa menerima kenyataan bahawa cinta tidak selalu berkekalan.
Kendatipun berpisah, kedua-duanya dilihat mengekalkan hubungan profesional yang baik, memberi contoh bahawa perpisahan tidak semestinya berakhir dengan permusuhan.
- Lee Si-young
Siapa sangka perkahwinan pelakon berbakat besar Lee Si Young yang sering dipuji harmonis, berakhir dengan noktah memilukan selepas lapan tahun bersama.
Berkahwin pada 2017 dengan seorang pemilik restoran, pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki sebelum badai melanda.
Agensi ACE FACTORY mengesahkan perceraian itu berlaku atas persetujuan bersama, namun kisahnya menjadi lebih dramatik apabila pada Julai 2025, aktres berusia 43 tahun itu mengumumkan dirinya hamil anak kedua kendatipun status rumah tangga sudah terlerai.
Dari satu sisi lain, keputusan tersebut bukan kebetulan, rupa-rupanya wanita jelita itu pernah membekukan embrio untuk program bayi tabung dan apabila tempoh simpanan hampir luput, dia memilih untuk hamil anak kedua.
Kata pelakon drama Sweet Home itu, dia lebih rela menanggung sendiri tanggungjawab sebagai ibu daripada membiarkan kehidupan si kecil itu lenyap begitu sahaja.
- Hong Jin-kyung
Nama pelawak, pengacara dan ikon televisyen Korea Selatan, Hong Jin-kyung, menjadi tajuk utama sekitar Ogos lalu.
Selepas 22 tahun bersama, rumah tangganya terlerai tanpa heboh, tanpa konflik besar.
Khabar perpisahan mula tersebar melalui laporan Dispatch sebelum disahkan oleh Korea JoongAng Daily.
Apa yang mengejutkan, wanita berusia 48 tahun itu sebenarnya sudah lama bercerai, tetapi memilih menyimpannya daripada pengetahuan khalayak demi menjaga perasaan keluarga.
Katanya, meski sudah berpisah, dia dan bekas suami tetap berhubungan baik demi anak mereka bahkan, keluarga kedua-dua pihak masih akrab, menandakan perpisahan itu berlaku dalam suasana penuh hormat.