PELAKON Hariz Hamdan semakin aktif dengan sukan maraton sejak dua tahun lalu.
Menurutnya, sebelum ini dia aktif bersenam di gim dan juga berlari tetapi tidak pernah menyertai maraton penuh sejauh 42 kilometer.
Hariz yang merupakan pelakon drama Andai Itu Takdirnya mengakui cukup teruja apabila buat julung kalinya bakal menyertai maraton penuh pada Oktober ini di acara Standard Chartered Marathon, Kuala Lumpur.
“Sebelum ini saya pernah menyertai acara half maraton di Bali, Indonesia, sejauh 21 kilometer. Ahad ini saya akan terbang ke Bangkok, Thailand untuk sertai acara Meta: Time: Trial sejauh 10 kilometer anjuran Asics.
“Walaupun jadual kerja padat, saya tetap mencuri masa untuk jalani latihan supaya bersedia untuk maraton penuh.
“Bagi saya maraton bukan sekadar trend, kerana sukan ini boleh dilakukan oleh semua orang dan di mana-mana sahaja. Cuma bagi saya berlari bukan sakadar menyihatkan badan tetapi meringankan minda,” ujarnya.

HARIZ di acara kempen Move your body, move your mind di ibu negara baru-baru ini.
Dalam pada itu, kata Hariz bagi aktiviti larian secara serius dan profesional, kasut yang bagus amat penting untuk maksimunkan prestasi larian terutama buat mereka yang menyertai pertandingan.
“Kasut yang bagus bukan sahaja penting untuk prestasi, tetapi untuk mengelak kecederaan dan memberi keselesaan sepanjang larian,” katanya ketika ditemui di acara pelancaran kempen Asics, Move your body, Move your mind baru-baru ini.
Selain Hariz duta serantau yang turut memeriahkan acara itu ialah Allison Yee, Haziq Hamzah bersama duta Asics Thailand, Preem Ranida Techasit, Patsapon Jansuppakitkun (Bever), Kittipat Kaewcharoen (Kaownah) dan Pon Nawasch.
Kempen terbaharu jenama kasut terkenal itu diadakan bersempena pembukaan rasmi Garden of Motion Pop-Up di pusat beli-belah TRX Exchange yang menampilkan koleksi musim luruh dan sejuk 2025 dari Tokyo serta beberapa koleksi pakaian edisi terhad. – HIBGLAM