BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza percaya anak saudaranya, Umairah memiliki bakat besar sekali gus berpotensi melebarkan sayap bukan sahaja di Malaysia malah di pentas antarabangsa.
Ujar Siti atau nama sebenarnya, Siti Nurhaliza Tarudin, 45, Umairah mempunyai kelebihan istimewa termasuk kebolehan bertutur dalam bahasa Mandarin yang boleh membuka laluan luas untuknya menembusi pasaran baharu.
“Umairah memang berbakat besar, dia ada banyak kelebihan berbanding saya dan mungkin ramai orang lain. Contohnya, Umairah fasih berbahasa Mandarin, satu kelebihan besar untuk membuka peluang lebih jauh.
Mungkin ini boleh merealisasikan impian saya yang dulu tidak kesampaian. Saya pernah berangan mahu tembusi pasaran China selepas menang di Shanghai.
“Pasukan sudah bersedia ketika itu, tetapi kerana saya berkahwin, impian itu terhenti. Kini saya mahu mencari ruang dan peluang itu untuk Umairah,” katanya kepada HibGlam.
Mengimbau lebih tiga dekad pengalaman, pelantun lagu Menamakanmu Cinta itu menekankan perlunya jati diri yang teguh, semangat dan kesabaran tinggi untuk bertahan dalam dunia seni.
“Perkara paling utama ialah kesabaran, rajin memperbaiki kelemahan dan pandai berkomunikasi dengan semua orang.
Memang penat jadi anak seni. Kena hadap banyak jadual seperti penggambaran muzik video, temu bual dan sebagainya.
“Tetapi kalau itu impian Umairah, dia perlu sabar dengan segala tanggungjawab. Jati diri mesti kuat. Jangan hanyut dengan cabaran dunia seni yang penuh dugaan. Jangan lupa mak ayah kerana itu asas segalanya,” ujarnya.
Paling penting kata Siti, Umairah perlu menghargai dan bersyukur dengan bakat yang dikurniakan Allah selain tidak mengabaikan pelajaran.
Umairah ada masa depan cerah dan saya percaya dia dilahirkan untuk jadi penghibur.
“Namun dalam masa sama, jangan lupakan pelajaran kerana dia juga mempunyai potensi cemerlang dalam akademik,”pesannya.
Sementara itu, Umairah atau nama sebenarnya Ummi Umairah Saiful Anuar, 14, yang masih bergelar pelajar memanfaatkan cuti persekolahan untuk melancarkan dan mempromosikan single Sayap.
Lagu ciptaan Resa Husin dan Farouk Roman itu mengangkat kisah cinta penuh harapan yang akhirnya tidak kesampaian.
Single Sayap boleh didengari di semua platform digital manakala muzik video arahan Rifaiee Omar dari Rio Films Production dapat ditonton menerusi saluran YouTube Universal Music Malaysia. – HIBGLAM