PELAKON dan pelawak popular, Zizan Razak menegaskan setiap bantuan dan derma yang dihulurkan kepada mana-mana individu adalah atas niat untuk meringankan beban golongan yang memerlukan.
Menurut Zizan atau nama sebenar, Mohd Razizan bin Abdul Razak, 41, dia bukan melakukan perkara tersebut untuk menagih perhatian atau pujian daripada masyarakat sebaliknya membantu kerana Allah SWT bagi memberi manfaat kepada individu yang ditimpa kesusahan.
Saya buat kerana Allah kerana semua yang saya dapat hari ini pun sebab doa orang ramai termasuk ibu bapa, peminat dan bukan milik saya seorang. Kadang-kadang dalam RM10 yang kita ada, RM3 sahaja milik kita, selebihnya RM7 itu milik orang lain.
“Kalau boleh, saya nak sorok, tetapi saya fikir ada baik Allah buka cerita ini untuk beri inspirasi kepada orang.
“Itu sahaja, saya fikir positif kerana bimbang kebanggaan itu akan melalaikan saya,” katanya kepada HibGlam selepas acara Polis Evo Wonda-Ful 10 Years, iaitu sambutan sempena 10 tahun francais filem tersebut, malam tadi.
Dalam masa sama, Zizan mendedahkan pernah melalui pengalaman menjadi mangsa penipuan segelintir individu yang cuba mengambil kesempatan terhadap kebaikannya.
Disebabkan itu, Zizan akan lebih berhati-hati bagi mengelakkan dirinya menjadi mangsa penipuan.
“Kes yang menipu atau ‘scam’ banyak, membabitkan lebih ribuan ringgit.
“Namun, kalau dia memang benar-benar susah, saya akan bantu seikhlas mungkin.
Ada yang saya pernah bantu kemudian dia minta lagi dengan beritahu kali ini untuk emak dia. Saya kasihan tetapi lepas dapat dia datang lagi, jadi mungkin itu ‘scam’. Apapun saya sentiasa cuba sedaya upaya untuk tolong,” katanya lagi.
Sebelum ini, nama Zizan menjadi bualan dalam media sosial melalui perkongsian beberapa individu yang menerima bantuan daripadanya termasuk pelawak, Amir Raja Lawak.
Sejak itu, ramai mengagumi sikap Zizan yang pemurah dan tidak menunjuk-nunjuk selain dianggap sebagai contoh terbaik dalam kalangan selebriti tempatan. – HIBGLAM