‘Saat paling saya tunggu, Amira berjumpa cinta hati’

PENYANYI Wany Hasrita menyifatkan detik sahabat baiknya, Amira Othman dipertemukan dengan cinta sejati sebagai saat yang paling dinanti.

Wany atau nama penuhnya, Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 32, turut menitipkan doa agar Amira dan suaminya, pelakon Fattah Amin, menjalani kehidupan rumah tangga yang penuh keberkatan.

“Saat yang paling saya tunggu adalah di mana Nadia Amira berjumpa dgn cinta hatinya.

“Semalam (Ahad) akhirnya dia sudah bergelar isteri. Biar setiap cerita disimpan rapi, kita buka lembaran baru.

“Hiduplah kalian dengan tujuan dan matlamat yang sama iaitu untuk kita semua dapat berjumpa serta berkumpul kembali di syurga Firdaus nanti, di negeri abadi,” katanya dalam Threads.

Biarpun Amira lebih muda setahun daripadanya, pelantun Hati-Hati itu mengakui sahabatnya seorang yang matang, penyabar dan cukup menenangkan sesiapa sahaja di sekelilingnya.

“Walaupun dia muda setahun dari saya, tapi dialah paling kakak, sangat matang, penyabar dan tenang orangnya.

“Saya harap semua yang baik-baik untuk dia sekeluarga dunia akhirat,” ujarnya.

Sebelum ini, Amira dan Fattah selamat diijabkabul pada 14 September lalu pada majlis pernikahan yang berlangsung penuh indah di Golden Palm Tree Resort, Sepang.

Wany merupakan antara gadis dulang selain Hawa Rizwana, Anzalna, Ernie Zakri, Qasrina Karim, Nabila Razali dan Tasha Manshahar.

Sehingga ke hari ini setiap perkongsian Fattah dan Amira menjadi perhatian ramai tambahan pula selepas aktor terbabit mengelar wanita yang baru dinikahinya itu sebagai isteri syurga. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok