‘Kulit dah kedut, tak ambil watak orang muda’

BERILAH apa sahaja karakter pasti dizahirkan dengan penuh komited dan cemerlang.

Itulah kelebihan dimiliki pelakon Zahiril Adzim sehingga kebanyakan naskhah lakonannya meledak dan menjadi sebutan.

Bagaimanapun, pemilik nama lengkap Muhammad Zahiril Adzim Mohd. Mokhtar, 41, itu mengakui masih dihantui perasaan bimbang memikirkan respons penonton setiap kali hasil kerjanya ditayangkan.

“Saya takut sebenarnya, sudah semestinya kalau boleh setiap kerja nak bagi yang terbaik dan nak dapat sambutan sama.

Tapi dalam masa sama, ini satu tekanan untuk saya. Tak semua perancangan kita akan menjadi.

“Setiap karakter saya cuba tarik emosi penonton. Kalau menjadi alhamdulillah, jika sebaliknya saya minta maaf,” katanya kepada HibGlam.

Meksipun dihujani pujian, terselit jua kritikan khususnya mengenai isu hero berusia.

Sedar situasi itu, bapa kepada seorang cahaya mata itu tidak sesekali menerima tawaran yang dirasakan tidak bersesuaian dengan usianya.

“Nampak Berusia mungkin sebab kulit saya dah berkedut tapi saya okey tiada masalah. Kita tahu mana tempat kita.

“Jika dapat naskhah yang wataknya terlalu muda, saya tak ambil.

Sebelum netizen menilai, baik saya nilai dulu. Tapi jika ada yang saya terima, saya akan cuba usahakan nampak muda sedikit, itu tanggungjawab saya sebagai pelakon,” jelasnya.

TIDAK lokek ilmu, Zahiril bersedia membantu pelakon muda yang mahu berguru dengannya.

Sutradara

Sedia maklum peningkatan usia akan membataskan pilihan watak, Zahiril sudah mula berjinak-jinak dengan dunia pengarahan sebagai persediaan masa depan.

“Saya tahu benda ini akan berlaku bila tiba masanya, jadi kena tingkatkan skil dan luaskan cabang kerja.

Lagipun saya memang sudah lama teringin duduk di kerusi pengarah. Inilah masanya untuk saya kongsi cerita saya pula.

“Selepas lama berkarya sebagai pelakon, saya nak lihat dan bantu pelakon-pelakon muda,” ujar Zahiril yang sudah menunjukkan kemampuannya sebagai sutradara menerusi filem Martabat: Misi Berdarah.

Ditanya sama ada dia berminat menjadi tenaga pengajar, Zahiril tidak menolak sekiranya ada pendatang baharu ingin menimba ilmu daripadanya.

“Sebelum ini saya pernah mengajar dalam program atau bengkel lakonan. Tapi bagi saya, kalau nak belajar berlakon tak boleh tiga hari.

Saya belajar berlakon pun tiga tahun. Jadi, mengajar teknik lakonan dua minggu saya rasa tak cukup. Kena berterusan kalau nak betul-betul kuasai.

“Andai kata ada orang datang dengan saya nak belajar, saya okey tiada masalah. Kita akan bekerja berdasarkan skrip dan terus lompat kepada karakter dia,” tutupnya. – HIBGLAM

CAPTION

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok