MENJAGA penampilan penting dan menjadi keutamaan bagi mereka yang sering muncul di kaca televisyen dan khalayak ramai.
Aedy Ashraf yang sudah lebih dua dekad bergelumang dalam dunia seni mengakui menjaga penampilan adalah perkara wajib apatah lagi aset paling utama hendak dijual selain bakat adalah wajahnya.
Membuat kemunculan istimewa di majlis pelancaran produk penjagaan kulit, Cerave baru-baru ini, Aedy mendedahkan mula menyedari tentang kepentingan menjaga kulit wajah sejak beberapa tahun lalu.
“Sebenarnya baru sedar juga, sebelum ini mengharapkan wajah bersih sahaja tanpa menggunakan sebarang produk penjagaan kulit. Ternyata itu hanya ‘mitos’.
Selepas didedahkan dengan banyak produk, baru saya tahu rutin penjagaan kulit wajah sangat penting apatah lagi kerjaya saya memang kena jual muka selain bakat.
“Saya percaya memiliki kulit yang sihat adalah satu kekayaan untuk mana-mana individu,” katanya.
Sambung Aedy lagi, dia pernah berdepan pengalaman teruk dikecam kerana kulit wajah bermasalah sehingga dibelenggu rasa murung.
“Rasa sangat ‘down’, ditambah pula kerja saya memang perlu bertemu dengan ramai orang.
Ramai menghakimi saya dan kecam hanya kerana kulit wajah bermasalah. Ketika itu rasa tak selesa ketika berada di tempat ramai orang.
“Senang cerita, itu bukan fasa terbaik dalam hidup tapi saya lega dapat kenal produk-produk yang bagus sebagai jalan penyelesaian masalah tersebut,” jelas bintang filem Kahar: Kapla High Council itu.
Produser
Selepas hampir dua dekad beraksi di depan kamera, pemilik nama penuh Mohammad Addy Ashraf Rosmadi itu kini mara setapak dengan menggalas tanggungjawab sebagai produser filem.
Menghasilkan karya berjudul Tarung Unforgiven arahan Razaisyam Rashid, dia turut tampil sebagai pelakon.
Insya-Allah akan muncul dengan sebuah filem terbitan sulung saya dan sudah memulakan penggambaran.
“Sangat teruja sebab ini buah tangan pertama. Mungkin akan ditayangkan tahun depan,” tuturnya.
Mengulas penampilannya yang berambut panjang, Aedy berkata, imej itu untuk filem terbaharunya.
Ditanya sama ada mengubah penampilan adalah prioriti untuk setiap naskhah, dia mengakui perkara tersebut memainkan peranan dalam membezakan setiap watak yang dijayakan.
“Bagi saya perubahan imej adalah cabaran bagi setiap pelakon.
Mungkin bagi sesetengah pelakon okey ubah tetapi ada juga yang memilih untuk kekal dengan imej sedia ada.
“Namun bagi saya, mengubah imej itu perlu untuk bawa kelainan bagi setiap karakter,” ujarnya.
Menurutnya lagi, jika asyik tampil dengan imej yang sama, penonton bukan sahaja akan mudah bosan, malah mungkin melihatnya sebagai pelakon yang klise.
Kalau tak ubah penampilan, saya akan kelihatan sama seperti yang dikongsi dalam media sosial. Bayangkan jika imej kita sama untuk beberapa watak, penonton pun mudah bosan.
“Jadi, penampilan untuk setiap watak penting, biar ada variasi.
“Namun sekali lagi, sesetengah orang mungkin tak percaya perkara tersebut. Apa pun, semua itu ikut keselesaan setiap individu dan tidak salah kalau tak ubah apa-apa pun,” katanya mengakhiri perbualan. – HIBGLAM