‘Beratnya hati ibu bapa apabila anak berpaling’ 

BAGAI meluahkan isi hati, pelakon Edika Yusof berkongsi mengenai pengorbanan ibu bapa terhadap anak yang melambangkan kasih sayang tanpa sempadan.

Edika atau nama sebenarnya, Mohd. Yusof Abd. Majid, 58, berkata, dia kecewa atas tindakan seseorang yang sudah diberikan segala-galanya namun memilih untuk melupakan kebaikan diberi.

“Kami ini ibu bapa. Kami membesarkan kamu dengan darah daging sendiri, berdiri bersama setiap pengorbanan, dan memberi segala yang kami mampu.

Namun, kamu pergi tanpa sepatah kata, meninggalkan hormat dan rasa syukur.

“Suatu hari nanti, mungkin kamu akan memahami beratnya hati seorang ibu bapa apabila anak yang diberi segalanya berpaling,” katanya dalam InstaStory.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, perkongsian bapa kepada dua anak itu mencetuskan persoalan dalam kalangan pengikutnya.

Rata-rata menebak bahawa luahan perasaan yang dibuat dengan turut berkongsi swafoto wajahnya mempunyai kaitan dengan isu keluarga.

Sebelum ini, Edika dan isterinya, Nor Hidayah Yusri bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 5 Mei lalu.

Begitupun, mereka rujuk dua bulan selepas itu dengan menyatakan keputusan berkenaan dibuat atas perbincangan berdua tanpa melibatkan orang lain termasuk anak mereka.

Nama aktor popular era1990-an itu menjadi perhatian berikutan kesetiannya menjaga isteri yang lumpuh separuh badan selepas melahirkan anak mereka.

Hasil perkongsian hidup sejak 2003, mereka dikurniakan dua cahaya mata dan seorang anak lagi daripada perkahwinan isterinya yang terdahulu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok