PASANGAN bapa dan anak, Aziz M Osman serta Ara membuat keputusan untuk menarik diri daripada rancangan Talk To My Manager (TTMM) pada konsert minggu keempat yang berlangsung semalam.
Penarikan diri ini sekali gus menjadikan mereka sebagai pasangan pertama yang meninggalkan pentas TTMM selepas tiga minggu tiada penyingkiran.
Aziz sewaktu ditemui selepas tamat konsert berkata, dia terpaksa membuat keputusan tersebut kerana kekangan masa antara dia dan Ara
“Kami tak dapat elak menarik diri kerana terdapat pertembungan masa saya dan juga Ara. Bakat Ara lebih kepada membuat persembahan daripada menyanyi.
“Jadi selama empat minggu saya perlu berfikir untuk masukkan elemen lakonan dan bercerita dalam persembahannya. Bila saya fokus kepada Ara, kerja-kerja saya yang lain terabai.
“Ara juga perlu bahagi masa dengan pelajarannya. Jadi kami buat keputusan untuk menarik diri walaupun berat untuk melakukannya,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah Aziz lagi, dia juga menyedari kemampuan anaknya dalam bidang nyanyian tidak setanding dengan peserta lain.
“Saya rasa tidak adil untuk Ara. Dia perlu bekerja keras untuk bersaing dengan peserta-peserta lain yang lebih hebat dalam bidang nyanyian. Ara lebih kepada lakonan dan pengacaraan,” ujarnya.
Sementara itu bagi Ara atau nama sebenarnya Puteri Nur Azzahra, 14, pula, dia mahu memberi peluang kepada rakan-rakannya yang lain kerana sedar nyanyiannya tidak sehebat mereka.
“Saya tak boleh fokus buat banyak perkara dalam satu masa. Menyanyi bukan ‘forte’ saya. Rakan-rakan saya jauh lebih hebat.
“Saya rasa saya tidak boleh berikan sepenuhnya dalam nyanyian jadi lebih baik saya beri peluang kepada mereka yang benar-benar layak untuk berikan sepenuhnya,” kongsinya.
Kini tinggal tujuh lagi pasangan yang akan berentap di minggu kelima iaitu Saerah dan Amad, Shuib dan Thalita, Sharifah Shahirah dan Auddra, Ameng dan Amad, Ina Naim dan Hadie dan Sharifah Zarina dan Athalia. – HIBGLAM.