‘Sampai bila kita harus takut cuba arus baharu?’

SERING dikecam terlalu berlebihan atau ‘overdo’ dalam nyanyian sehingga hilang rasa, penyanyi Aisyah Retno enggan tunduk pada persepsi orang luar.

Begitu pun, Aisyah atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 25, berkata, setiap teguran diterima dengan lapang dada kerana percaya sesuatu yang berbeza pasti datang bersama cabaran.

“Setiap kecaman yang saya terima, selalu saya fikir pasti ada hikmah di sebaliknya.

Saya tahu untuk menjadi berbeza, jalannya tidak mudah. Banyak duri yang perlu ditempuh tetapi saya sudah bersedia.

“Kalau buat begini pasti orang kecam, tetapi sampai bila kita mahu takut mencuba arus baharu?,” katanya kepada HibGlam usai persembahan di Konsert Suria Wow Malaysia, malam tadi.

Tambah pelantun lagu Samudera itu, sebagai artis muda, dia melihat usaha memperkenalkan sesuatu yang segar sebagai satu tanggungjawab, meskipun dirinya masih dalam proses menimba pengalaman.

“Bagi saya, mungkin inilah sedikit sumbangan untuk mendidik masyarakat. Walaupun ilmu saya belum cukup, saya percaya kena mula dari sekarang. Saya baru lima tahun dalam industri muzik, masih mentah namun rujukan yang baik dari luar negara boleh dijadikan panduan.

Di negara jiran, cara saya menyanyi diterima tanpa masalah, cuma di Malaysia mungkin ada yang anggap cara nyanyian saya janggal kerana masih baru.

“Itulah perkara menarik, sekurang-kurangnya orang tahu gaya ini memang wujud dan bukan saya sengaja reka-reka,” ujarnya.

Mengulas persepsi bahawa dirinya sering dilabel ‘try hard’, Naib Juara Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) itu tidak menafikan gaya penampilan dan muzik yang dibawanya menjadi faktor perhatian.

“Mungkin sebab fesyen, cara saya hasilkan lagu, semuanya memang berbeza. Tetapi saya gembira bila kawan-kawan artis mula ikut arus ini.

Trend campuran Nusantara dengan R&B misalnya, mula mendapat tempat di TikTok. Saya gembira kerana saya menjadi antara pemula.

“Untuk kecaman pula, saya anggap lumrah. Seorang artis memang tidak akan lari daripada kritikan,” jelasnya.

Sebelum ini, tular dalam TikTok video perbandingan nyanyian artis terdahulu yang lebih sopan dan sedap didengar manakala alunan penyanyi generasi Z pula penuh teknik berlebihan sehingga merosakkan lagu.

Ramai menyebut nama Aisyah sebagai contoh penyanyi generasi baharu yang gemar melakukan improvisasi sehingga dianggap berlebihan dan menenggelamkan rasa lagu. — HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok