JANGAN kita cipta drama yang tidak perlu. Saya sangat menghormati Fazura dan Amira Othman.”
Itu kenyataan pelakon Anzalna Nasir apabila ada segelintir pihak yang mempersoalkan tindakannya menjadi pengiring pengantin atau ‘bridesmaid’ kepada Amira Othman di hari pernikahannya bersama Fattah Amin, semalam.
Menurut Anzalna atau nama lengkapnya Nur Anzalna Md Nasir, 37, dia tiada masalah dengan kedua-dua selebriti tersebut dan bersyukur dapat bersahabat dengan mereka berdua.
Fazura dan Amira ada keistimewaan masing-masing dan wanita hebat. Sebab itu saya bersyukur dapat berkawan dengan kedua-duanya.
“Saya dengan ikhlas mendoakan yang terbaik dalam hidup mereka. Jadi marilah kita bergembira untuk semua orang,” tulisnya dalam Instagram.
Selain Anzalna, beberapa lagi selebriti wanita popular dilihat turut sama menjadi ‘bridesmaid’ Amira antaranya Ernie Zakri, Qasrina dan Nabila Razali.
Namun nama Anzalna menjadi bualan ramai kerana dia dikatakan salah seorang rakan selebriti bersahabat baik dengan Nur Fazura yang merupakan bekas isteri Fattah.
Anzalna dan suaminya Hanif Zaki merupakan duta Jakel sementelah Fattah Amin dan Amira Othman juga merupakan duta jenama sama.
Semalam, Fattah selamat diijabkabulkan dengan Amira hanya dengan sekali lafaz dalam majlis yang berlangsung di sebuah resort di Sepang. – HIBGLAM