TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itulah gambaran paling tepat bagi menggambarkan perkembangan karier seni Arfie Shah yang kini berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
Selepas mencuri perhatian menerusi drama terbitan produksi Singapura, Arfie, 28, sekali lagi menerima peluang berharga apabila dilamar produksi dari Taiwan untuk membintangi drama bersiri terbaharu mereka.
Walaupun bukan memegang watak utama, Arfie menyifatkan peluang itu sebagai batu loncatan yang cukup bermakna untuk mengukuhkan profilnya sebagai pelakon.
“Saya anggap tawaran ini sebagai rezeki besar dari Allah SWT. Walaupun bukan watak utama, dapat terlibat dalam produksi luar negara sudah cukup bermakna. Apatah lagi tawaran sebegini bukan selalu datang.
“Mereka percaya dengan bakat saya walaupun saya orang luar. Itu yang buat saya lebih bersemangat untuk buktikan kemampuan diri,” katanya.
Bakal menjalani penggambaran di Taiwan pada awal Oktober ini, Arfie menyifatkan peluang terbabit dengan produksi luar negara bukan sahaja pencapaian peribadi, sebaliknya membuka ruang untuk pelakon Malaysia dikenali di pentas antarabangsa.
“Kalau sebelum ini saya terlibat dengan drama produksi Singapura, kini Taiwan pula beri peluang. Saya percaya rezeki Allah luas, cuma kita kena sentiasa berusaha dan berdisiplin.
“Saya juga jadikan pengalaman ini sebagai satu pembelajaran kerana budaya kerja mereka berbeza. Dari situ kita dapat tambah ilmu dan tingkatkan kualiti lakonan,” jelasnya.
Usaha berhasil
Arfie tidak ketinggalan menzahirkan rasa syukur apabila usaha dan pengorbanannya selama ini mula membuahkan hasil.
“Saya pernah melalui fasa sukar dalam kerjaya, ada masa tawaran kurang dan ada ketika hampir putus asa.
“Tapi saya percaya setiap orang ada masa masing-masing. Sekarang saya nampak sedikit demi sedikit pintu rezeki itu terbuka,” katanya.
Ditanya bagaimana syarikat produksi Taiwan berjaya mengesan bakatnya, Arfie berkata dia sendiri tidak pasti mengenai perkara tersebut.
“Pihak produksi Taiwan ada menghubungi pengurusan saya dan minta kami mengosongkan jadual kerana mereka mahu tawarkan sebuah drama bersiri.
“Saya percaya mungkin mereka nampak lakonan saya menerusi siri drama X-Change yang pernah ditayangkan di sebuah platform penstriman digital sebelum ini,” jelasnya.