PELAKON Rita Rudaini lantang menyuarakan sokongan terhadap tindakan rakan selebriti, Raja Azura yang bertegas menuntut nafkah anak-anak meskipun sudah 15 tahun membawa haluan sendiri.
Ujar Rita atau nama sebenarnya, Rita Rudaini Mohammad Mokhtar, 49, nafkah bukan isu remeh kerana perkara tersebut merupakan amanah dan tanggungjawab wajib seorang bapa terhadap zuriat mereka.
“Saya sokong penuh. Nafkah anak bukan soal masa, tapi tanggungjawab dan tanggungjawab tidak ada tarikh luput.
“Benda begini tidak pernah ada kesudahan. Duit habis keluar masuk mahkamah, tetapi akhirnya tiada jalan penyelesaian.
“Akhirnya, kami ibu tunggal tetap kena teruskan, namun hutang tetap hutang,” tegasnya.
Bintang filem Mami Jarum itu juga turut mengingatkan golongan lelaki agar tidak memandang ringan perihal tanggungjawab selain menegaskan kecuaian bapa terhadap nafkah anak boleh memberi kesan besar pada masa hadapan.
“Nanti bila dah tua, bila sakit, sibuk hendak salam, hendak peluk, hendak minta duit daripada anak.
“Lepas itu kalau anak buat tidak peduli, dituduh pula mak hasut anak, anak derhaka, memalukan sungguh!,” ujarnya.
Sebelum ini, artis serba boleh, Raja Azura memfailkan permohonan pelaksanaan penghakiman untuk menuntut nafkah tiga orang anaknya daripada bekas suami, Adzmin Othman.
Menurutnya, niat tersebut bukanlah mahu berbalah tetapi sekadar menuntut hak anak-anak.
Untuk rekod, Rita pernah mendirikan rumah tangga dengan pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan pada tahun 2008 sebelum bercerai pada 2013.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna yang kini menjadi kekuatan utama hidup Rita. — HIBGLAM.