Dengan sekali lafaz, pasangan selebriti, Fattah Amin dan Amira Othman selamat bernikah kira-kira pukul 9.08 malam dalam sebuah majlis serba indah yang diadakan di Golden Palm Tree di sini sebentar tadi.
Amira atau nama penuhnya Nadia Amira Othman, 32, menerima seutas gelang emas sebagai mas kahwin beserta lima dulang daripada pihak lelaki dan dibalas tujuh dulang hantaran sebagai simbolik penyatuan cinta mereka.
Dalam majlis berkenaan, pelantun lagu Dalam Sujudku itu mengenakan busana daripada Teh Firdaus manakala pengantin lelaki daripada pereka fesyen terkenal iaitu Rizman Ruzaini.
Pasangan mempelai itu dinikahkan oleh Datuk Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri sambil disaksikan bapa Amira, Othman Abdul Kadir dan ahli keluarga yang lain.
Majlis yang berlangsung secara eksklusif itu hanya dihadiri ahli keluarga, saudara-mara dan rakan rapat pasangan berkenaan, menjadikan suasana lebih intim dan penuh makna.
Terdahulu, Fattah membuat kejutan istimewa di majlis pelancaran single terbaru Amira dan adiknya, Irfan Haris berjudul Rasa & Takdir.
Pada majlis tersebut Fattah mengakui status perhubungan mereka dan pasangan itu bakal diijabkabulkan pada 14 September ini yang juga merupakan tarikh kelahiran aktor itu.
Untuk rekod, Fattah pernah mendirikan rumah tangga bersama aktres Fazura pada 27 November 2017 namun berpisah pada 7 Oktober tahun lalu.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, kini berusia lima tahun.
Saksikan Siaran Langsung Eksklusif Majlis Ijab Kabul Setulus Takdir: Fattah Amira melalui aplikasi Unifi TV 2.0, saluran Inspirasi pada 14 September 2025, jam 8 malam! Muat turun sekarang di: onelink.to/unifitv. – HIBGLAM