PENYANYI Shila Amzah menyifatkan penganjuran majlis anugerah hari ini tidak sehebat dulu termasuk pendedahan yang diberikan terhadap artis baharu.
Tampil menyuarakan pandangan, Shila, 35, berkata, kemeriahan majlis anugerah sebelum ini juga disebabkan inisiatif syarikat rakaman yang berusaha mengetengahkan artis baharu mereka.
Kalau dulu majlis anugerah semua artis baharu memenuhi tempat duduk penonton sebab kami teruja nak tengok penyanyi senior buat persembahan.
“Syarikat rakaman ketika itu pun bagus sebab sanggup keluarkan sikit duit hantar artis-artis mereka untuk beri pendedahan di karpet merah,” katanya dalam platform Threads.
Tambahnya, syarikat rakaman perlu melabur untuk memastikan artis di bawah pengurusan mereka mendapat pendedahan yang sepatutnya terutama di acara anugerah berprestij.
“Sekarang sudah sangat kurang, tidak semeriah dulu.
Saya fikir syarikat rakaman perlu ada peruntukan untuk artis baharu belajar dan diberi pendedahan.
“Tengok online tak sama dengan siaran langsung,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Shila berkata, meskipun ramai artis berjaya meraih jumlah penstriman tinggi dalam media sosial, realitinya mereka masih kurang mendapat pendedahan yang sepatutnya.
“Jika hendak dikatakan kurang, sebenarnya ramai yang mengeluarkan lagu dan pencapaian penstriman juga hebat, terutamanya yang popular dalam TikTok.
“Namun sayangnya, kurang mendapat pendedahan di dunia nyata. Mereka lebih memberi tumpuan pada platform digital, barangkali,” ujarnya.
Pandangan tersebut meraih banyak respons yang rata-ratanya bersetuju selain berpendapat majlis anugerah hari ini dibanjiri dengan golongan pempengaruh media sosial berbanding selebriti. – HIBGLAM