PELAKON Angeline Tan yang menerima anugerah Tokoh Perdana Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1447H 2025M meluahkan rasa syukur apabila kehidupannya menjadi lebih tenang selepas memilih untuk memeluk agama Islam.
Menurut Angeline atau nama Islamnya Ardini Angeline Tan, 58, keputusan memeluk Islam membuka ruang baharu untuk mendalami ilmu agama sekali gus memberi perspektif berbeza terhadap kehidupan.
Memeluk Islam membuka satu ruang dan satu pintu untuk saya belajar dengan lebih banyak.
“Bukan sahaja untuk dunia sekarang tapi kemudian (akhirat) juga.
“Saya rasa sangat tenang,” katanya dalam sebuah video TikTok.
Berkongsi lanjut, isteri kepada pelakon dan pengarah, Sabri Yunus itu memaklumkan penghijrahan tersebut turut menarik perhatian rakan-rakan bukan Islam yang berminat mengetahui tentang agama itu.
“Setelah bergelar mualaf, ramai kawan-kawan Cina dan India mula bertanya tentang Islam.
Sebab mereka tak pernah ada peluang untuk bertanya sebelum ini.
“Mereka tanya ‘Islam ni macam mana? Kenapa begitu, kenapa begini?’,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Angeline turut berkongsi dirinya terinspirasi dengan pesanan Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh seorang ustaz mengenai perkongsian ilmu walau sekecil mana pun.
Saya berkongsi sahaja tidak kisah dengan sesiapa pun. Itulah sekecil-kecil benda yang saya buat.
“Ada seorang ustaz beritahu saya, Nabi Muhammad SAW pernah berkata, ‘Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat.’
“Itulah apa yang saya nak buat, sebarkan dulu kepada keluarga dan kawan-kawan terdekat, itu sangat baik,” jelasnya.
Baru-baru ini, Angeline diumumkan sebagai penerima anugerah Tokoh Perdana Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1447H 2025M bagi kategori Saudara Baru Cemerlang (Mualaf).
Untuk rekod, Angeline yang cukup dikenali menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu memeluk agama Islam pada September 2023 sebelum berkahwin dengan Sabri sebulan kemudian. – HIBGLAM