Janji ditunai, Amiralah ‘Wanita Terakhir’ Fattah Amin

SEPANJANG minggu ini, sana sini bercakap tentang berita penyatuan pasangan selebriti Fattah Amin dan Amira Othman yang diramal bakal menjadi ‘Wedding Of The Year’

Selepas hampir setahun menjamu peminat dengan kisah-kisah romantis dan gimik kahwin, akhirnya rakan sekerja itu bakal bertukar menjadi rakan serumah pada tanggal 14 September ini iaitu tarikh yang sama dengan hari lahir Fattah.

Mengimbas semula gosip cinta merpati dua sejoli yang mendapat jolokan Fattmira itu, HibGlam antara yang terawal melaporkan tentang mereka penghujung tahun lalu.

Namun ketika itu, kedua-duanya menafikan mereka sedang bercinta dan lebih selesa menggunakan terma rakan sekerja.

Pernah juga timbul dakwaan kononnya pasangan itu bakal berkahwin pada Mei 2025 tetapi dinafikan sekeras-kerasnya.

Biarpun ada yang berpendapat terlalu awal untuk Fattah ‘move on’ dan kembali berumah tangga kerana belum genap setahun bercerai dengan Nur Fazura, tetapi apabila bercakap soal jodoh, tiada siapa yang mampu melawan takdir dan mengubah apa yang sudah tertulis oleh-Nya.

Daripada dikecam bermesraan berdua tanpa ada ikatan yang sah, lebih baik diijab kabul sahaja. Amira juga sudah menginjak usia 33 tahun. Buat apa tunggu lama-lama lagi. Rakan-rakan seusianya juga sudah sibuk menguruskan anak-anak dan rumah tangga masing-masing.

Setiap kali ditemu bual, soalan yang sama ditanya, bila saya akan berkahwin? Saya pernah janji, bila sampai waktunya kami sendiri akan umumkan.

“Dengan pengumuman ini, janji itu sudah ditunaikan,” kata Amira sewaktu sidang media pengumuman majlis pernikahannya pada Isnin lalu.

LAMA berahsia, Fattah dan Amira akhirnya mengesahkan percintaan mereka dan mengumumkan bakal disatukan sebagai suami isteri esok.

Pasangan itu mendapat restu bukan sahaja daripada peminat tetapi juga rakan seangkatan dalam industri.

Amira juga dilihat diraikan dalam acara ‘bachelorette’ usrah yang dikendalikan rakan-rakan baiknya.

Biarpun ini merupakan perkahwinan kali kedua buat Fattah tetapi buat julung kali hari bahagianya bakal disiarkan secara langsung menerusi aplikasi Unifi TV.

Bukan itu sahaja, Unifi TV turut menerbitkan rancangan khas sebanyak 10 episod mengenai perjalanan cinta Fattah dan Amira istimewa buat tatapan peminat.

Dalam kegembiraan meraikan bakal mempelai, ada pula yang cuba mencuit mantan isteri Fattah dengan komen-komen nakal dan berbaur sindiran.

Namun, usikan nakal itu tidak sedikit pun menembusi benteng emosi Fazura yang dilihat kekal tenang menjalani kehidupannya seperti biasa dengan anakanda tercinta, Nur Fatima Aisya, 4.

Saya adalah wanita yang sangat bersyukur kerana saya kini bahagia bersama anak perempuan di sisi,” tulis Fazura dalam media sosial.

Esok, Fattah dan Amira sudah bertukar status sebagai rakan serumah. Kini tumpuan netizen beralih kepada pasangan sensasi Bella Astillah dan YB Syed Saddiq atau BASS.

Bella pula dilihat menemani Syed Saddiq ke Perancis sempena pertandingan Iron Man baru-baru ini. Dua anaknya yang dilihat cukup akrab dan manja dengan Syed Saddiq turut dibawa bersama.

Tidak dilupakan Nora Danish dan jejaka yang dikenali sebagai Mickey Ayo. Biarpun Nora menafikan dakwaan akan melangsungkan pernikahan pada 8 September lalu, khabar angin mereka akan disatukan dalam waktu terdekat terus bertiup kencang.

Kembali ke subjek utama, Amira seumpama menjawab persoalan dalam lirik ‘bila kau nak menikah’ yang terkandung dalam lagu Bila Nak Kahwin, sebaik Rasa & Takdir dilancarkan, Fattah datang membawa ‘kunci’ pintu mahligai bahagia mereka.

Semoga segala urusan Fattah dan Amira esok dipermudah.

Sepertimana lagu dendangan Fattah, Wanita Terakhir, semoga Amira menjadi suri terakhir dan terindah dalam hidup Fattah.

Selamat melangkah ke dunia pengantin baharu. Semoga perkahwinan kali ini kekal hingga ke syurga. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok