‘Sampai depan pusara Zara automatik menangis, rasa macam anak sendiri’

BERKESEMPATAN ke Sabah bagi mempromosikan filem terbaharu berjudul Tembuni Berdarah, pelakon Riezman Khizaimi mengambil peluang menziarahi pusara Allahyarham Zara Qairina di Tanah Perkuburan Tanjung Hubi, Mesapol, Sipitang, Sabah.

Riezman, 55, mengakui sebak sehingga menitiskan air mata ketika berdiri di hadapan kubur remaja berusia 13 tahun itu meski mereka tidak pernah bersua muka.

‘Saya, Ahmad Idham dan Sophia Albarakbah di Sabah untuk promosikan filem Tembuni Berdarah yang akan keluar 25 September ini. Saya memang tergerak hati nak pergi walaupun perjalanan dari Kota Kinabalu ke Sipitang memakan masa tiga jam.

Pengalaman yang boleh dikongsikan memang aura lain. Baru masuk lorong tak nampak kawasan kubur lagi dah naik bulu roma.

“Bila turun dari kenderaan, saya terus nampak pusaranya. Saya duduk di belakang dulu dan bagi kawan-kawan lain ke depan. Rasa sebak dan sayu.

“Apabila sampai ke depan pusara Zara, saya automatik menangis. Tak pernah jumpa arwah tapi saya rasa macam anak saya sebab saya pun ada anak remaja,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui pada majlis tayangan drama Setia Itu Mahal episod ke-27 baru-baru ini. ‘Sampai depan pusara Zara automatik menangis, rasa macam anak sendiri’

Selain itu, pelakon filem Impak Maksima 2 itu turut memberikan nasihat kepada penduduk Sabah agar terus memperjuangkan keadilan buat Zara tanpa melibatkan unsur politik.

“Saya bagi nasihat kepada mereka (orang Sabah). Saya ambil peluang ini mana yang tak betul saya betulkan dan cakap perjuangkan untuk keadilan tetapi jangan libatkan pemerintah dan politik.

Kita tak nak ada percanggahan fasal politik dan pemerintah. Jangan lari tajuk bahawa kita nak tahu keadilan bagaimana boleh terjadi.

“Selalu ayat saya kepada mereka ‘yang pergi tetap pergi itu asbab untuk kita dekat sini belajar apa Allah nak tunjuk dekat kita’,” ujarnya.

Sebelum ini, Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di tepi longkang selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah di Papar pada pukul 4 pagi, 16 Julai lalu.

Allahyarham disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada pukul 11 pagi keesokan harinya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok