‘Hanya bantu orang, tak terfikir nak sentuh bab politik’

PELAKON Bella Astillah menegaskan dia tidak akan terlibat dengan dunia politik meski kini berkawan rapat dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menurut Bella atau nama penuhnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, segala usaha dan bantuan yang diberikan kepada penduduk setempat dianggap sebagai tanggungjawabnya kepada masyarakat.

“Saya tak berani nak sentuh bab politik cuma memang jauhlah nak ke situ.

“Saya juga hanya fokus pada kerjaya dan tentang bantuan itu, saya rasa ramai juga yang lain lakukan perkara sama.

“Cuma kita tak tahu sebab mereka tidak kongsi atau orang ramai tidak kenal. Bantuan itu perkara biasa bagi saya sebab ramai lagi menghulurkannya,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Katanya lagi, menjejakkan kaki dalam dunia politik tidak pernah wujud dalam benak fikirannya dan hanya mahu memberi fokus terhadap kerjaya seni sahaja.

“Secara umum, saya hanyalah seorang selebriti yang menyanyi dan berlakon sahaja

“Jadi ahli politik itu tidak terfikir langsung, jauh sekali,” jelasnya.

Mengulas mengenai namanya yang sering viral dalam media sosial, Bella memberitahu dia dan semua individu di sekeliling akan memantau setiap konten bagi memastikan tidak terpalit dengan perkara negatif.

“Sebenarnya kami akan lihat dan tapis dahulu sebab risau, saya pun ada anak-anak, mereka pun akan membesar dan lihat konten begitu.

“Jika ada yang kurang selesa, saya minta maaf,” ujarnya.

Dia juga mengakui terdapat segelintir individu yang kurang selesa namun memberitahu semua itu dilakukan atas dasar kerja semata-mata.

“Semua yang dimuat naik dalam media sosial adalah atas tujuan kerja, kalau viral, itu bukan perancangan saya.

“Sebenarnya betul, ada orang yang kurang selesa. Kalau viral, semua itu diluar kawalan saya.

“Namun, saya harap orang faham bahawa itu usaha saya mencari rezeki untuk keluarga,” katanya lagi.

Sebelum ini, Bella juga pernah menafikan dakwaan sengaja menjaja kisah sedih hidupnya untuk meraih simpati dan mendapat tempat dalam industri seni ketika ini.

Dia juga tidak pernah menjual kisah peribadi sebaliknya menganggap semua yang diterimanya hari ini sebagai satu bentuk rezeki.- HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok