TIGA penyanyi ternama Indonesia, Anggi Marito, Fabio Asher dan Rizky Febian bakal bberpadu suara buat pertama kalinya pada konsert Malam 3 Suara di Idea Live Arena pada 14 Disember depan.
Selaku penganjur utama, Strategy X Entertainment Sdn. Bhd. berkata, konsert tersebut akan memberi peluang kepada peminat di Malaysia untuk menikmati sebuah persembahan hebat yang mampu membuai perasaan.
“Sesuai dengan namanya, konsert ini merupakan sebuah malam istimewa yang menyatukan tiga penyanyi dengan identiti sendiri.
“Setiap daripada mereka membawa keunikan suara, karakter muzik serta emosi yang berbeza.
‘Anggi Marito dengan kelembutan dan ketulusan vokalnya, Fabio Asher dengan balada penuh emosi yang menyentuh jiwa dan Rizky Febian dengan pesona serta gaya persembahan yang penuh warna.
“Apabila tiga elemen ini digabungkan, lahirlah sebuah harmoni yang indah dan saling melengkapi,” katanya.
Ujarnya, konsert tersebut akan membuai jiwa penonton dengan lantunan vokal hebat dan penceritaan menerusi setiap lagu.
“Malam 3 Suara bukan sekadar konsert, tetapi sebuah naratif yang dirangkai melalui muzik dan akan membawa penonton menyelami kisah-kisah cinta, kerinduan serta harapan.
“Inilah maksud dan konsep konsert kali ini, sebuah malam yang meraikan kekuatan tiga suara, jiwa dan satu cerita yang bersatu di pentas untuk penonton,” jelasnya.
Pada malam tersebut, sebanyak 20 buah lagu akan didendangkan dan juga bakal terbahagi kepada beberapa segmen istimewa iaitu persembahan solo, duet dan kolaborari bertiga.
Sementara bagi Rizky, dia mengakui tidak sabar untuk kembali menghiburkan peminat di Malaysia.
“Saya amat teruja untuk kembali ke Kuala Lumpur, dan bertemu dengan peminat di Malaysia.
“Ini adalah sebuah peluang berharga untuk berkongsi muzik saya secara lebih dekat dan mencipta kenangan indah bersama kalian semua katanya yang kali terakhir mengadakan konsert di sini sekitar tahun 2023.
Peminat boleh mendapatkan tiket yang akan mula dijual esok iaitu 12 September 2025 di www.ticket2u.com.my/malam3suara
Kategori tiket dibahagikan mengikut segmen dan harga bermula dari RM188 sehingga RM448.
Antara kategori yang ditawarkan termasuk Malam Rawan – (RM448), Hingga Tua Bersama (RM388), Rumah Singgah (RM298), Cara Mencintaimu (RM228), Tak Segampang Itu (RM188), Kesempurnaan Cinta (RM338), Bertahan Terluka (RM288), Tanpa Rasa Bersalah (RM268) dan Makna Cinta (RM318). – HIBGLAM