‘Bams sakit kanser lutut, sekarang banyak masa di gereja’

GITARIS utama kumpulan popular Indonesia, Samsons iaitu Irfan Aulia Irsal mendedahkan keadaan bekas anggota band tersebut, Bams kini semakin sembuh selepas berjuang masalah kesihatan kanser di bahagian tulang lutut.

Irfan berkata, Bams atau nama lengkapnya, Bambang Reguna Bukit juga sempat mendapatkan rawatan di Kuala Lumpur bagi mengubati penyakit terbabit.

“Tidak silap saya dia menghidap kanser tulang lutut sejak 10 tahun lalu. Masalah kesihatan itu sudah didedahkan dalam audio siar di Indonesia. Ada dia datang ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan kanser.

“Sudah agak lama saya tidak berhubung dengannya. Rasanya kali terakhir beberapa tahun lalu kami berhubung.

“Dia ada singgah di pejabat dan kami ada projek bersama yang belum bisa didedahkan,” katanya kepada HibGlam pada sidang media konsert Samsons Live in Malaysia – Kenangan Terindah hari ini.

Ujar Irfan lagi, disebabkan keterbatasan kesihatannya sekarang, Bams kini lebih memfokuskan perjalanan muzik yang dekat dengan agama.

“Bams baik-baik sahaja cuma sekarang jalur muziknya berbeza. Dia lebih selesa menyanyikan muzik berkisar agama (gereja).

“Ada kali terakhir dia buat persembahan tapi hanya duduk sahaja. Bukan berkerusi roda tapi hanya duduk sahaja,” katanya lagi.

Bams merupakan vokalis Samsons yang meninggalkan band tersebut pada 2012 sebelum kini digantikan dengan vokalis baharu, Adrian Martadinata.

Antara lagu yang kekal menjadi siulan peminat sehingga sekarang termasuklah Naluri Lelaki, Kenangan Terindah dan Bukan Diriku.

Samsons yang kini dianggotai Irfan, Adrian, Erik dan Aldri bakal mengadakan konsert di Idea Live Arena, Damansara 3 pada 9 November depan.

“Kami sangat merindukan peminat di Malaysia. Disebabkan itu, kami datang kembali demi para peminat di sini.

“Tak sabar nak hiburkan peminat kerana di konsert nanti, kami akan mendendangkan beberapa lagu baharu album yang bakal dilancarkan tidak lama lagi,” katanya lagi.

Tiket konsert anjuran Orlaith Inc itu boleh dibeli di www.ticket2u.com atau www.fantopia.io. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok