SAYA harap dapat tunggu dan menikmati persembahan hebat, saya perlu ke Madison Square Garden.”
Demikian penjelasan penyanyi Lady Gaga yang hanya dapat meluangkan masa 15 minit di UBS Arena Elmont New York, bagi menerima trofi Artis Terbaik pada Anugerah Muzik Video MTV (MTV VMA) 2025, semalam.
Selebriti yang turut memenangi tiga kategori lain itu kemudian bergegas ke lokasi konsert jelajahnya, Mayhem Ball Tour iaitu 29 kilometer dari acara MTV MVA 2025.
Lady Gaga yang dikatakan meminta penganjur mengumumkan kategori utama lebih awal mendedikasikan kemenangannya kepada peminat dengan mengingatkan kepentingan seni dalam kehidupan.
“Saya tidak dapat gambarkan betapa bermaknanya anugerah ini buat saya. Menjadi seorang artis adalah usaha menyatukan semua orang di seluruh dunia.
Ini satu disiplin. Seni menyentuh hati dan mengingatkan mereka untuk terus bermimpi.
“Tanggungjawab artis adalah membuat audien senyum, menari, menangis dan melepaskan beban. Ia membina persefahaman serta meraikan komuniti. Anda semua layak untuk terus bersinar,” katanya ketika berucap.
Selain Artis Terbaik, pemilik nama sebenar Stefani Joanne Angelina Germanotta itu turut memenangi Kolaborasi Terbaik menerusi duet lagu Die With Smile bersama Bruno Mars serta Pengarahan Terbaik dan Pengarahan Seni Terbaik bagi Abracadabra.
Pada MTV VMA musim ini, Gaga mendahului senarai pencalonan dengan 12 kategori, diikuti Bruno Mars dan Kendrick Lamar dengan masing-masing menerima 11 dan 10 pencalonan.
Kategori Lagu Terbaik menjadi milik APT nyanyian Rose (Blackpink) bersama Bruno Mars, manakala penyanyi pop, Sabrina Carpenter membawa pulang Album Terbaik menerusi Short n’ Sweet.
Ariana Grande juga antara yang menyerlah apabila meraih trofi Artis Pop Terbaik, Lagu Pop Terbaik dan Video Terbaik menerusi Brighter Days Ahead.
Kategori lain turut menyaksikan kemenangan Alex Warren (Artis Baharu Terbaik), Blackpink (Kumpulan Terbaik), Doechii (Hip Hop Terbaik – Anxiety) serta Mariah Carey (R&B Terbaik – Type Dangerous).
Pemenang lain ialah Sombr (Alternatif Terbaik – Back to Friends), Coldplay (Rock Terbaik – All My Love), Shakira (Latin Terbaik – Soltera) dan Lisa feat Doja Cat & Raye (K-Pop Terbaik – Born Again).
Mendiang legenda rock, Ozzy Osbourne yang meninggal dunia Julai lalu pula diraikan dengan persembahan tribute menampilkan Steven Tyler dan Joe Perry (Aerosmith), YUNGBLUD serta Nuno Bettencourt.
Malam pengiktirafan yang dihoskan rapper LL Cool J itu diserikan persembahan Mariah Carey, Busta Rhymes, Ricky Martin, Tate McRae, Lola Young dan Kenny G. – HIBGLAM