TUMPANG bahagia rakan baiknya, penyanyi Amira Othman bakal bergelar isteri kepada pelakon Fattah Amin, Sissy Imann gementar apabila diamanahkan mengacara majlis perkahwinan pasangan itu.
Sissy atau nama lengkapnya Sissy Imann Mohammad Kamil, 29, berkata, dia akan menjalankan tanggungjawab diberi sebaik mungkin.
“Berita perkahwinan mereka akhirnya diumumkan. Insya-Allah, semoga dipermudahkan segala urusan.
“Gementar nak jadi hos ‘wedding of the year’. Nasib baik, jadi tak kisahlah datang majlis kena kerja pada waktu itu,” katanya dalam hantaran di InstaStory.
Sissy turut berkongsi tangkap layar perbualan dengan bakal pengantin perempuan yang menjemputnya datang ke hari bahagianya.
Mesej antaranya dengan Amira agak melucukan kerana rakannya itu baru mengetahui Sissy akan menggalas tugas sebagai pengacara majlis.
Semalam, Fattah, 35, membuat kejutan pada pelancaran lagu baharu Amira dan adiknya, Irfan Haris dengan mengumumkan berita gembira sekali gus menamatkan spekulasi percintaan bersama wanita itu sejak beberapa bulan lalu.
Pasangan terbabit memilih diijabkabul pada 14 September depan, bersempena ulang tahun kelahiran Fattah yang ke-35, namun tidak memperincikan butiran lain termasuk lokasi pernikahan.
Begitupun, hari bahagia pasangan yang asalnya digandingkan bagi promosi produk sejak awal 2025 akan disiarkan secara langsung menerusi Unifi TV pada pukul 8 malam.
Sejak beberapa bulan lalu sudah ramai sudah menghidu hubungan istimewa mereka, tetapi masing-masing hanya mengaku sebagai rakan sekerja walaupun tuan punya badan ada memberi bayangan menerusi laman sosial. – HIBGLAM