MEMBESAR dengan lagu Misha Omar, penyanyi Nabila Razali mengakui menonton showcase idolanya sehari sebelum melahirkan anak sulung pada Disember tahun lalu sebagai keputusan tepat.
Mengimbas memori, Nabila atau nama sebenar Nur Nabila Mohd. Razali berkata, sepatutnya dia masuk hospital pada hari sama ketika kandungan genap 38 minggu, namun doktor memberi pelepasan selepas melihat kesungguhannya.
“Saya membesar dengan lagu Misha Omar. Semua lagu dalam ‘playlist’. Bila tahu dia nak buat showcase, memang teruja gila. Walaupun ‘due date’ dah dekat, tetap nak pergi. Masa itu tiket cepat habis, nasib baik tambah dan saya borong untuk famili.
Namun disebabkan ‘baby’ tak gerak ketika buat pemeriksaan rutin, doktor nasihatkan saya masuk hospital. Termenung sekejap sebab tahu tak dapat pergi konsert malam itu, tak tahu hidup ke mati ke.
“Keluar dari bilik doktor saya duduk sekejap. Tak tahu kenapa hati nak pergi sangat. Lepas tanya suami, jururawat kemudian beranikan diri tanya doktor. Punya seronok sebab doktor bagi tetapi perlu masuk wad keesokan hari,” katanya dalam perkongsian di Instagram.
Dalam hantaran tersebut, Nabila turut berkongsi video momen Misha menyanyikan lagu kegemarannya, Peluang Kedua dalam Misha Omar Back To Basic Showcase di Jiospase.
Ketika itu, kelihatan Nabila yang sarat hamil menitiskan air mata kerana terharu dan syahdu mendengar lagu dendangannya dinyanyikan idolanya.
Idola sendiri nyanyi lagu kesukaan saya dan esok pula nak masuk bilik bersalin, nak bertarung nyawa. Memang sebak sangat.
“Saya menangis sebab teringat macam-macam, nak galas tanggungjawab sebagai ibu tapi itu antara kenangan paling indah dalam hidup saya,” katanya.
Pada hantaran sama, penyanyi juga pelakon itu turut menzahirkan rasa syukur apabila proses melahirkan permata hatinya dipermudahkan.
Allah Maha Besar. Nik Muhammad pun dah umur lapan bulan sekarang. Misha pun nak buat konsert November ini. Adakah sejarah akan berulang nanti,” kongsinya.
Nabila mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Nik Iruwan Nik Izani pada 18 November 2023 dan dikurniakan Nik Muhammad yang dilahirkan pada 23 Disember tahun lalu. – HIBGLAM