Pesta muda-mudi sedekad Masdo

PEJAM celik, sudah sedekad rupa-rupanya kugiran Masdo bertapak dalam industri seni tanah air.

Meraikan tempoh penuh warna-warni tersebut, Masdo menghadiahkan peminat dengan konsert sulung berjudul Al-Kisah Masdo Sepuloh Tahun pada 31 Ogos lalu yang disaksikan lebih 2,000 pengunjung.

Selain meraikan sambutan Hari Kemerdekaan ke-68, Masdo turut mencipta memori nostalgik dengan persembahan 21 buah lagu termasuk karya yang jarang didendangkan dalam acara muzik selama ini.

Berkonsepkan teaterikal, kumpulan yang dianggotai Ali Sariah, Asmawi dan Putu Ceri itu menyajikan video sektsa sebelum tampil ke pentas.

Memilih baju-T belang-belang, Masdo membuka tirai dengan lagu Teruna & Dara, Miss Flower Learn To Twist dan Malam Pesta Rock N Roll.

Dalam suasana penuh gembira, Masdo turut mengundang ibu masing-masing ke atas pentas ketika menyampaikan lagu Ratu Hatiku.

Ibu simbolik perjuangan

Pemain gitarnya iaitu Asmawi atau nama lengkapnya Muhammad Aizat Asymawi mendedahkan bahawa ibunya seorang pejuang kanser tetapi tidak diperincikan tentang penyakit tersebut.

“Ibu saya seorang pejuang. Dia melawan kanser tahap empat,” kata Asmawi sambil memperkenalkan ibunya yang bernama Siti selepas menghabiskan persembahan.

Sementara itu, Ali memperkenalkan ibunya bernama Sariah manakala Putu Ceri pula memperkenalkan ibunya, Rohibiah.

Antara seleksi lagu lain yang dipersembahkan pada malam bersejarah tersebut, Bertemu Kembali, Perih Jerih, Lautan Asmara, Kasih & Sayang, Begini Jadinya dan Dewi Puspita.

Tidak dilupakan dengan lagu popularnya, Dinda yang turut melonjakkan nama mereka hingga ke Indonesia dengan konsep muzik berteraskan gaya retro 1960-an dihidangkan buat peminat.

Sebagai rakan baik yang sentiasa menyokong karier seni Masdo, vokalis Noh Salleh turut membuat penampilan istimewa dengan menyanyikan lagu Inilah Jalannya sebelum kembali ke pentas bersama kumpulan Hujan menerusi lagu Janji Manis.

Turut memeriahkan konsert, Heidi Moru berduet bersama Masdo dalam lagu Pujaanku serta Fizan daripada kumpulan Bittersweet yang memukau penonton dengan lagu Nearly Near You.

Kemuncak persembahan konsert anjuran Hitman Solutions menyaksikan Masdo bergabung bersama Hujan dalam lagu hit Aku Skandal, sekali gus menutup malam penuh bermakna itu dengan sorakan gemuruh penonton. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok