SELEPAS lama membahasakan diri sebagai rakan sekerja, pelakon popular Fattah Amin akhirnya mendedahkan status sebenar hubungannya dengan penyanyi, Amira Othman.
Muncul membuat kejutan di majlis pelancaran lagu Rasa & Takdir, Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 35, berkongsi khabar gembira hubungan mereka kini melangkah ke fasa lebih serius dan bakal berkahwin hujung minggu ini.
“Mesti ramai pelik saya hadir di majlis ini. Sebenarnya, hari ini saya dan Amira ada khabar baik yang mahu dikongsi bersama semua.
Seperti semua tahu, kami bermula sebagai rakan sekerja. Selepas beberapa lama berkenalan, insya-Allah kami ingin bertukar status daripada rakan sekerja kepada rakan serumah,” katanya kepada HibGlam.
Sementara itu, Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman, 32, turut menzahirkan rasa syukur kerana akhirnya dapat menunaikan janji yang sering ditunggu peminat serta pihak media.
“Setiap kali ditemu bual, soalan yang sama ditanya, bila saya akan berkahwin? Saya pernah janji, bila sampai waktunya kami sendiri akan umumkan.
Dengan pengumuman ini, janji itu sudah ditunaikan. Jadi, kami nak ajak semua saksikan majlis pernikahan di UnifiTV secara percuma,” ujarnya.
Pasangan tersebut bakal diijabkabulkan pada 14 September ini, tarikh istimewa yang juga merupakan ulang tahun kelahiran hero Suri Hati Mr. Pilot itu.
Sebelum ini, tular dalam media sosial dakwaan Fattah bakal menamatkan zaman duda dalam masa terdekat.
Spekulasi tersebut mula tercetus apabila seorang pengguna Threads menggunakan nama Kimchikims_ mendakwa mendapat maklumat itu daripada sumber dipercayai.
Untuk rekod, Fattah pernah berkahwin dengan aktres Fazura pada 27 November 2017 sebelum disahkan bercerai pada 7 Oktober tahun lalu.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun. – HIBGLAM