MENGINGATKAN ibu bapa sentiasa mengawasi anak-anak, pelakon Datin Elvina Mohamad berharap risiko kemalangan ketika menggunakan eskalator atau tangga bergerak dapat dielakkan.
Katanya, insiden yang berlaku depan mata membabitkan seorang kanak-kanak tersepit kaki di tangga bergerak di sebuah pusat beli belah memberi pengajaran agar jangan abaikan keselamatan insan tersayang.
“Kepada ibu bapa di luar sana tolong lebih berhati-hati kalau bawa anak kalian naik eskalator.
Tolong jangan bagi anak berdiri dekat tepi atau hujung eskalator, bahaya.
“Pesanan untuk diri saya sendiri juga. Seriau (ngeri) tengok kejadian tersebut. Semoga adik itu baik-baik sahaja,” katanya dalam hantaran di platform Threads.
Pelakon drama Takdir Yang Tertulis itu berkongsi video kejadian tersebut selepas selesai majlis tayangan filem Magik Rompak, baru-baru ini.
Habis ‘screening meet and great’ filem Magik Rompak, masa nak balik ternampak kejadian ini. Ya Allah, kasihan adik ini kaki dia termasuk dalam eskalator,” ujarnya.
Menerusi video itu, kelihatan beberapa lelaki dipercayai petugas keselamatan pusat beli belah dan polis memberikan pertolongan kepada mangsa.
Menerusi ruangan komen ramai pengguna Threads lain turut menitipkan pesanan serupa selain berkongsi pengalaman masing-masing.
Ada sesetengah selipar atau sandal tidak sesuai dipakai untuk menaiki eskalator, bahaya,” kata netizen.
“Pernah juga berlaku depan mata kejadian sama melibatkan kanak-kanak. Saya pula yang trauma,” tulis pemilik akaun lain.
Sebagai ibu kepada dua cahaya mata, Elvina antara selebriti yang aktif berkongsi hal kekeluargaan terutama membabitkan kesejahteraan dan keselamatan kanak-kanak menerusi media sosialnya.
Terdahulu, pelakon tersebut mendirikan rumah tangga dengan usahawan permotoran, Datuk Mohd. Haniff Borhan pada 2018. – HIBGLAM