‘Ada kawan tidak berbaloi kita kekalkan dalam hidup’

BUAT baik berpada-pada, penyanyi Shila Amzah mengingatkan orang ramai agar berwaspada dalam memberi sokongan kepada rakan kerana bimbang memakan diri sendiri.

Ujar Shila atau nama sebenarnya, Nurshahila Amir Amzah, 34, pada usia 30-an, seseorang pasti berdepan dengan pelbagai ragam kawan yang sering dibelenggu masalah hubungan seperti kecurangan, keganasan rumah tangga bahkan hutang.

Apabila masuk umur 30-an, kita akan jumpa kawan yang tidak pernah lepas daripada masalah cinta. Ada curang, ada kena pukul, ada pula terbeban hutang. Akhirnya mereka datang menangis minta nasihat.

“Namun selepas puas kita menasihatkan, mereka kembali berbaik, dan kita pula jadi salah.

“Kadang-kadang, sayang kawan pun perlu ada hadnya,” tulisnya dalam Thread.

Tambah pelantun lagu Masih Aku Cinta itu, tidak semua rakan berbaloi untuk disimpan dalam kehidupan apatah lagi apabila seseorang itu berperangai toksik.

Disebabkan itu, dia memilih untuk mengecilkan lingkaran sosialnya demi menjaga kesihatan mental dan ketenangan jiwa.

Hujung-hujung mereka kata, ‘awak tahu tak si A suruh saya berpisah dengan awak.’ Hakikatnya memang ada kawan yang tidak berbaloi langsung untuk kita kekalkan dalam hidup.

“Lebih baik kita jaga diri sendiri daripada membuang masa dengan orang yang asyik berdrama putus dan bersambung cinta tanpa kesudahan.

“Sebab itu bila usia meningkat, lebih baik kita kekalkan lingkaran kawan sekecil mungkin. Lingkungan kecil itu jauh lebih menenangkan fikiran,” ujarnya.

Rata-rata netizen menyokong pandangan Shila dan mengakui mereka turut berdepan pengalaman sama, selain memuji keterbukaan penyanyi itu berkongsi kisah kehidupan peribadi sebagai pengajaran. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok