PELAKON sensasi, Nora Danish menafikan dakwaan kononnya bakal berkahwin esok dengan lelaki yang dikenali sebagai Mickey Ayo.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam Instagram, Nora atau nama lengkapnya Nora Mohd Danish Hanif, 43, menjelaskan situasi sebenar mengenai gosip yang semakin hangat diperkatakan itu.
“Ramai tertanya-tanya tentang gambar dan berita hang viral. Saya ingin jelaskan saya tidak akan berkahwin esok.
“Gambar atau video yang menjadi viral itu adalah sebahagian daripada strategi pemasaran kempen sebuah jenama. Ia tiada kena mengena secara peribadi dengan saya.
“Saya sangat menghargai segala doa dan perhatian daripada kalian. Saya harap kenyataan ini dapat bersihkan segala salah faham yang berlaku. Terima kasih kerana sentiasa menyokong saya. Sayang semua,” tulisnya.
Terdahulu tular dalam media sosial foto serta video lelaki yang digosipkan bercinta dengan Nora menggayakan sepasang Baju Melayu berwarna putih seakan pengantin.
Turut dikongsikan adalah kad jemputan yang tertera huruf M dan N beserta tarikh 8 September 2025 sekali gus mencetuskan spekulasi pasangan ini bakal menamatkan zaman solo masing-masing esok (Isnin). – HIBGLAM