‘Mahu pasangan yang memudahkan, bukan mengongkong’

MEMILIKI tubuh tinggi lampai, wajah jelita, bijaksana serta mempunyai nama besar dalam dunia seni, hidup si cantik Amelia Henderson kelihatan hampir sempurna.

Bagaimanapun dalam bab cinta, rezeki seolah-olah belum berpihak kepada pengacara, pelakon dan model berdarah kacukan India-Scotland itu.

Pernah bergelar isteri kepada jejaka berdarah kerabat dari utara tanah air, episod rumah tangga pemilik nama sebenar Amelia Thripura Henderson berakhir selepas tiga tahun tanpa zuriat kira-kira lapan tahun lalu.

Sejak itu, pintu hati wanita berusia 29 tahun itu bagaikan masih belum terbuka untuk sekali lagi melangkah ke pelamin.

Walau tampak tegar dan ceria di hadapan khalayak, Amelia tidak pernah menutup terus bicara soal hati sebaliknya, dia memilih untuk bersikap terbuka kendati pandangannya mengenai cinta agak berbeza berbanding kebanyakan wanita seusia.

“Bukan belum terbuka hati, tetapi rezeki bertemu dengan insan yang tepat di luar kawalan saya. Soal ini saya serahkan semuanya pada Tuhan.

Apa yang jelas, arus hidup saya kini lebih terarah pada kerja. Saya tidak mahu melawan arus. Ke mana arus bawa, saya ikut sahaja. Saya takkan sesekali mengorbankan kerja hanya kerana mahu menumpukan perhatian pada perhubungan yang belum tentu berakhir di pelamin.

“Bagi saya, hubungan sempurna ialah apabila tiada pertelingkahan, malah tidak timbul rasa serba salah meninggalkan pasangan setiap kali perlu keluar bekerja,” katanya kepada HibGlam.

Tambah pelakon filem Blood Brothers itu, percintaan yang sihat seharusnya bahagia, bukan menjerumuskan diri ke kancah dilema.

“Kita sepatutnya merasa gembira apabila bertemu seseorang, bukan menambah tekanan. Saya juga tidak sanggup melihat masa bersama keluarga dikorbankan semata-mata melayan kehendak pasangan.

Kalau timbul rasa tidak selesa hingga mencetus dilema, itu tanda jodoh tersebut bukan untuk kita. Saya mahu insan yang memudahkan, bukan mengongkong apatah lagi menghalang kerjaya. Soal jodoh, saya serahkan sepenuhnya kepada Tuhan,” ujarnya.

Dalam meniti perjalanan karier pula, anak sulung daripada dua beradik itu bersyukur kerana sepanjang hampir dua dekad bergelar anak seni, dia tidak pernah dihimpit gosip liar.

“Saya bersyukur tidak pernah terbabit dalam kontroversi. Kalau boleh, saya mahu kekal bersih.

Dari kecil lagi, niat saya hanya satu iaitu menjadi pelakon. Biarlah lakonan yang menyerlah, bukan kisah sensasi. Semoga saya terus dijauhkan daripada perkara-perkara itu,” tuturnya.

Seperkara lagi kata Amelia, barangkali wajahnya lebih kerap muncul di dunia pengacaraan, ada pihak menyangka dia sudah memperlahankan lakonan, sedangkan bidang itu tetap menjadi keutamaan.

Orang mungkin nampak saya banyak di podcast tapi sebenarnya saya masih aktif berlakon. Saya utamakan naskhah yang dekat di hati.

“Saya sangat gemar bekerjasama dengan insan berbakat serta kreatif. Kalau dapat naskhah menarik, itu sudah cukup buat saya bersyukur. Semuanya bergantung pada rezeki,” tegasnya menutup bicara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok