SELEPAS sembilan tahun bercerai dengan penyanyi Chris Martin, pelakon Gwyneth Paltrow membuka sejarah lampau detik sebelum masing-masing akhirnya memilih haluan sendiri.
Menerusi wawancara dengan sebuah majalah, aktres berusia 52 tahun itu mendedahkan perkahwinan selama 13 tahun terlerai sebaik menyedari hubungan dengan vokalis Coldplay tidak mampu lagi dipertahankan.
“Momen itu berlaku adalah hari ulang tahun kelahiran saya yang ke-38. Saya dan dia berada di sebuah desa di Tuscany, kami menginap di rumah serba indah atas bukit dengan pemandangan hutan.
“Musim luruh mula tiba, daun-daun perlahan melepaskan warna hijau cerah dan kediaman tersebut cukup sempurna raikan majlis hari jadi dengan ruang tamu dihias rapi.
“Namun, di tengah suasana romantis itu saya menyedari perkahwinan dengan Chris tidak dapat diselamatkan. Saya tak tidak ingat pukul berapa tapi saya tahu meskipun tangan kami saling menggenggam, ikatan kami sudah terlerai,” katanya.
Paltrow dan Martin yang berkahwin pada 2003 mengumumkan perpisahan mereka pada 2014 tetapi proses perceraian mereka hanya selesai dua tahun kemudian.
Begitupun, walau kedua-duanya sudah mempunyai pasangan lain mereka tetap memenuhi tanggungjawab menjaga anak mereka iaitu Apple, 21, dan Moses, 19 tahun. – HIBGLAM