‘Diam saya demi kebaikan, tapi jangan timbulkan spekulasi’

BERSUARA demi menghentikan spekulasi, madu kepada pempengaruh Marissa Dania, Umisya menegaskan selama ini dia berdiam diri demi menjaga keharmonian semua pihak.

Pemilik nama lengkap Umisya Mazlan itu berkata, tindakannya tidak melayan provokasi adalah untuk kebaikan, selain memilih tampil apabila perlu bagi membuktikan kebenaran.

“Banyak sebenarnya yang boleh diceritakan dari A hingga Z, tapi cukuplah hanya dengan bersuara untuk membuktikan kepada manusia dan dunia.

“Diam saya ini untuk kebaikan semua orang tetapi saya harap jangan timbulkan apa-apa spekulasi yang tidak patut tentang saya.

“Berpada-padalah dalam percakapan sebab tidak semua akan faham selagi tidak berada di tempat kita (ketika saya terduduk, jatuh sejatuhnya seorang diri),” katanya dalam InstaStory.

Pada hantaran sama, ibu kepada tiga cahaya mata itu turut menyentuh sikap skeptikal segelintir individu yang hanya mempersoalkan kelantangannya.

“Itulah, orang tidak melihat bila kita bersabar tapi orang melihat apabila kita lantang bersuara,” ujarnya.

Menurut Umisya lagi, sebagai wanita berstatus anak, isteri dan ibu, dia juga mempunyai perasaan selain perlu menjaga hati insan tersayang agar tidak tercalar mendengar cerita buruk dilemparkan kepadanya.

“Cukup beringat yang saya juga manusia. Saya ada ibu yang ada perasaan dan tiada susuk suami.

“Saya juga tiada lelaki yang boleh pertahankan saya kecuali suami dan ayah kepada anak-anak saya.

“Saya juga ada perasaan, ada hati dan cukuplah apa yang saya telan selama ini. Jangan berhenti jadi insan baik,” katanya.

Terdahulu, nama Umisya kembali dipetik netizen selepas ibu kepada madunya juga pelakon, Abby Abadi memaklumkan mahu menyelamatkan anaknya itu daripada

terperangkap dalam hubungan toksik.

Walaupun tidak menyebut nama, ramai percaya hantaran berkenaan berkaitan rumah tangga Marissa dengan suaminya, Ahmad Aslam.

Terdahulu, pempengaruh muda itu mengejutkan ramai apabila memilih untuk menjadi isteri kedua kepada Ahmad Aslam di Songkla, Thailand pada Disember 2023.

Ketika itu, Aslam sudah pun memiliki seorang isteri, Umisya, serta dikurniakan tiga cahaya mata. – HIBGLAM

 

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok