NAMA pelakon Nora Danish terus memanas selepas jejaka Dungun, Terengganu yang dikaitkan dengannya, Mickey Ayo, memberi bayangan seolah-olah sudah bersedia menamatkan zaman duda.
Menerusi sebuah hantaran dalam Instagram milik sebuah jenama sampin, Mickey dilihat lengkap berbaju Melayu putih persis pengantin lelaki dengan kapsyen yang ditulis mengundang pelbagai spekulasi tentang kisah peribadinya.
“Dua kali aku cuba, dua kali juga aku jatuh.
“Tetapi aku masih percaya, cinta itu tetap wujud,” katanya.
Lebih mencuri perhatian, Mickey yang juga perunding kewangan itu turut memuat naik gambar sekeping kad undangan perkahwinan dengan inisial huruf M dan N, bertarikh 8 September 2025.
Tindakan itu menguatkan lagi spekulasi netizen yang mengaitkan huruf N tersebut dengan Nora Danish.
Dalam hantaran berasingan, Mickey menulis seakan-akan meluahkan rasa hati tentang perjalanan cintanya.
“Ini bukan kali pertama aku sarung baju nikah, tapi aku harap kali ini jadi yang terakhir.
“Mungkin kali ini cinta bukan cinta pertama, tetapi biarlah jadi yang terakhir,” tulisnya.
Spekulasi semakin memuncak apabila video Mickey dalam TikTok turut tular dengan kapsyen penuh puitis, menggambarkan dirinya masih berani mencuba meskipun pernah kecewa.
“Dua kali janji terputus, tetapi hati ini tidak gentar untuk mencuba sekali lagi.
“Tidak semua cinta bermula dengan kosong, ada yang bermula dengan luka namun berakhir dengan doa,” katanya.
Sebelum ini, Nora, 43, pernah memuat naik foto bersama seorang lelaki berkopiah bercermin mata, sekali gus menguatkan dakwaan netizen bahawa dirinya kini sedang mengenali hati budi seorang duda beranak dua.
Pun begitu, baik Nora mahupun Mickey, kedua-duanya masih mengunci mulut mengenai status sebenar hubungan mereka. – HIBGLAM.