JIKA dibariskan senarai selebriti lelaki popular tanah air, Amir Masdi semestinya figura yang jauh daripada tempias gosip nakal mahupun pautan kontroversi liar.
Barangkali selesa dalam perimeter selamat atau sememangnya jejaka berusia 28 tahun itu perahsia, hanya tuan punya badan dapat menjawab persoalan tersebut.
Peluang HibGlam bertemu dengan pemilik nama sebenar Amir Syazwan Masdi itu tentu sahaja tidak dilepaskan untuk berkongsi rasa, terutama soal hati.
Sementelah Amir sendiri dikatakan belum mempunyai teman wanita, soalan cepu emas itu berada di carta teratas.

BUKAN datang daripada keluarga senang, namun berkat doa ibu bapa perjalanan seni Amir Masdi semakin dipermudahkan.
Tidak mengelak, jejaka yang dikenali dengan sikap budiman dan kurang berbicara itu mengakui belum bertemu calon sesuai.
Bukan menolak untuk berteman, jauh sekali mengetepikan soal jodoh, cuma masa untuk ke arah bercinta tidak lagi tiba.
“Siapa kita untuk mempertikaikan ketentuan Allah kerana setiap orang ada alur perjalanan masing-masing, tidak kira cepat atau lambat untuk hidup berkeluarga.
“Ketika masih ‘single’ inilah saya dapat berbakti dengan sepenuh hati kepada ibu bapa, selain fokus terhadap kerjaya kerana kerja ini memerlukan saya banyak ke luar kawasan,” katanya dengan bicara yang tersusun.
Menantu pilihan
Seperti dirinya yang sentiasa tenang, patah kata pilihannya juga sejuk telinga mendengar sekali gus tidak hairan dia dianggap calon menantu pilihan.
Hanya tertawa diusik bertalu-talu, katanya keluarga juga tidak mendesak selain memberikan sokongan terhadap pilihannya sama ada dalam kerjaya atau peribadi.
“Keluarga, terutama ibu okey sahaja. Saya pun tidak cerewet dalam memilih pasangan, namun mengutamakan nilai empati dan rasa hormat.
Saya tak kisah sangat asalkan dia seorang wanita yang memahami serta memiliki rasa hormat terhadap orang tua.
“Dari segi persefahaman pula, sejujurnya tidak ramai boleh faham cara kami bekerja tetapi kalau dapat jenis yang bertoleransi, itu sudah cukup bagus,” ujarnya mengupas satu persatu simfoni jiwanya.
Enggan berlama-lama mengintai hal peribadi, perbualan menjurus pula kepada momentum karier nyanyian dan gubahan lagu yang terus memuncak.
Biar graf pencapaiannya dilihat perlahan selepas menjuarai program realiti Akademi Fantasia 2016, langkah anak jati Selangor itu terus tersusun cantik.

AMIR enggan selesa dengan penerimaan pendengar, sebaliknya mahu terus rancak menghasilkan karya yang bermutu.
Bukan ‘one hit wonder’
Hingga kini, Amir boleh berbangga mampu menghasilkan dua album yang memuatkan banyak seleksi pilihan pendengar yang terus popular sampai sekarang.
Bermula dengan Pemilik Cinta, Waktu Puas dan karya yang lolos ke final Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35), Kau Sakiti sehingga Nurcinta, penghibur nan satu itu tidak menoleh ke belakang lagi.
Selepas album yang menggunakan namanya sendiri direalisasikan pada 2023, setahun kemudian ‘lahir’ buah tangan kedua diberikan judul AM:PM yang dirakamkan di Manchester, United Kingdom.
Andai dihitung, bukan sedikit modal dilaburkan demi kepuasan serta ‘bunyi’ mahal bagi memastikan pendengar puas hati menikmati seleksi yang disembahkan.
Ini juga sebagai bukti Amir Masdi bukan penyanyi ‘one hit wonder’ apabila mempunyai deretan dendangan yang melekat di sukma khalayak.
Bahkan, buat julung kali akhirnya dia melakar pencapaian membanggakan apabila tercalon dalam Top 5 Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-24, termasuk kategori Vokal Lelaki Terbaik.
“Sudah tentu saya sangat gembira. Alhamdulillah. Ini kali pertama saya lolos sampai ke Top 5.
Untuk berada dalam kalangan artis tempatan terbaik yang kita ada sekarang, memang satu penghormatan besar.
“Saya anggap pencalonan ini sebagai pembakar semangat untuk terus tampil bersama karya yang bagus dan malar segar,” ujarnya sepenuh pengharapan.

PUJIAN penyanyi senior termasuk Awie Wings dianggap pemangkin bagi menggandakan semangat untuk tampil dengan lebih banyak karya bermutu.
Minat rock
Mengulas mengenai jumlah pencalonan yang dihantar, Amir berkata, diuruskan sepenuhnya pihak pengurusannya, namun tidak semua karyanya diterima bersandarkan syarat tertentu.
“Antara lagu yang tidak layak ialah Nurcinta daripada album AM:PM yang saya rakam di luar negara awal tahun ini.
Jujurnya, saya agak tersentuh kerana lagu tersebut tidak boleh dipertandingkan, tapi peraturan tetap peraturan dan saya sendiri pun baru tahu mengenai syarat itu.
“Tidak mengapalah, saya berlapang dada. Nurcinta pun sudah mempunyai peminat sendiri. Apa yang penting lagu itu sudah melekat di telinga pendengar,” kongsinya.
Pengalaman merakam album di luar negara juga bukan soal populariti, sebaliknya ingin mencari inspirasi berbeza yang lebih istimewa.
Jika ada rezeki dan kesempatan, sudah tentu saya sedia mencurahkan ilham untuk menerbitkan lagi album di negara lain.
“Bukan kerana di sini tidak cukup bagus, cuma mahu mencari kelainan,” katanya.
Pada masa sama, vokalis yang mendapatkan pujian rockers Datuk Awie ketika tampil bersama Kid dan Din Search di konsert di Zepp Kuala Lumpur pada Julai tahun lalu hanya merendah diri apabila dikatakan sebagai penyanyi rock yang bagus.
“Terima kasih, saya cuma melaksanakan amanah, tak sangka disebut-sebut sampai sekarang. Sejujurnya rock juga jiwa saya,” tutupnya. – HIBGLAM