PERJALANAN karier hos dan penyampai radio sedang meningkat naik, Munaa Bella tidak semudah yang disangka.
Sebelum khalayak dapat mendengar celotehnya di konti Era FM menerusi segmen Chingu Era, Munaa atau nama sebenarnya Nabila Mohamad, 31, terlebih dahulu bergelar seorang model dan pelakon.
Sungguh, momen awal bergelar pelakon meninggalkan momen pahit yang tidak akan terpadam dari benaknya. Masakan tidak dia pernah didesak membuka tudung hanya demi untuk meraih satu tawaran tidak seberapa.
“Waktu saya bermula dahulu, pemakaian tudung dalam kalangan pelakon tidak seperti hari ini. Soalan yang paling banyak diterima ketika sesi uji bakat adalah, adakah saya boleh membuka tudung?
Saya percaya rezeki ada di mana-mana jadi saya hadir ke banyak ‘casting’ dan ditolak atas pelbagai faktor. Rasa diri terlalu kerdil, perlu menunggu berjam-jam hanya untuk watak tambahan.
“Saya pun faham, waktu itu siapalah saya untuk orang pandang dan ambil peduli,” ujarnya yang sempat membintangi drama Kampung People musim pertama dan telefilem, Cindai.

MENJADIkan personaliti terkenal, Allahyarham Mahadir Lokman sebagai inspirasi, Munaa mahu mempelajari bahasa Thai dan Arab bagi mevariasikan lagi gelanggang karier pengacaraannya.
Sungguhpun begitu, perjalanan seninya diatur cukup cantik.
Tidak disangka ‘minat’ bercakap di depan khalayak sejak menuntut di Sekolah Menengah Sains Kepala Batas, Pulau Pinang dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Segamat, Johor membawa rezeki kepadanya.
Ketika di bangku sekolah, dia cukup aktif menerusi pertandingan berpidato, berpantun, forum remaja dan choral speaking.
Saya memang suka bercakap sejak sekolah, apa sahaja pertandingan saya memang akan sertai. Keberanian untuk bercakap depan khalayak memang sudah diasah sejak kecil, cuma waktu tamat universiti cita-cita mahu jadi model dan pelakon,” ujarnya tertawa.
Idola
Titik perubahan terbesar berlaku pada 2019 apabila Munaa bergelar naib juara pertandingan Personaliti Top Era.
Sejak menjadi sebahagian daripada keluarga Era FM, rezekinya terbuka luas, malah bakat pengacaraan juga mula mendapat perhatian apatah lagi apabila mempunyai kelebihan boleh bertutur dalam bahasa Korea dengan lancar.
Inspirasi untuk menjadi pengacara versatil dan boleh bertutur dalam banyak bahasa datangnya daripada pengacara legenda Allahyarham Datuk Mahadzir Lokman.
“Semasa di UiTM, saya pernah dengar arwah. Sejak itu, saya pasang niat untuk menjadi pengacara versatil dan orang hebat seperti beliau.
Saya kagum dengan kebolehan arwah menguasai pelbagai bahasa dan boleh mengacarakan majlis di mana-mana pentas,” jelas wanita asal Pulau Pinang itu.

KESIBUKAN tugas di konti radio tidak menghalang Munaa Bella untuk memasuki kelas mempelajari bahasa Korea bersama pengajar bertauliah. Kini, bukan hanya boleh faham dan bertutur, dia boleh menulis serta membaca dalam bahasa bintang pujaannya itu.
Bermula dengan mempelajari bahasa Mandarin, Munaa kemudian mendalami bahasa Korea hanya kerana meminati aktor Lee Min-ho yang ketika itu membintangi drama popular Boys Over Flowers.
Saya memang kaki K-drama. Pada awalnya saya belajar bahasa Korea supaya lebih faham untuk tonton drama, jadi tidak perlu untuk baca sarikata.
“Tetapi tidak disangka kerana kemahiran bertutur bahasa Korea membuka lebih peluang terhadap kerjaya saya.
Masih ingat artis Korea Selatan pertama yang ditemu bual saya adalah pelakon Sung Hoon.
“Kemudian saya dapat mengacarakan sidang media dan mengadakan temu bual bersama Lee Min-ho untuk beberapa kali. Saya tidak dapat gambarkan perasaan kali pertama menemu bual idola sendiri dalam bahasa Korea,” ujarnya.
K-pop
Munaa yang kini semakin popular dalam kalangan peminat K-pop di Malaysia turut berkongsi momen manisnya bersama bintang popular Running Man, Song Ji-hyo.
Saya membesar dengan rancangan itu, tiba-tiba dapat berdiri di pentas bersama Song Ji-hyo, malah dia mengenali saya secara peribadi. Itu sesuatu yang tidak pernah saya bayangkan,” kongsi Munaa yang masih meluangkan masa untuk mengasah penguasaannya dalam bahasa Korea.
Memperuntukkan lebih RM1,000 untuk kelas bahasa bersama tutor peribadi sebanyak dua kali sebulan, Munaa kini bukan sahaja boleh bertutur tetapi menulis dan membaca bahasa Korea.
Selepas bahasa Korea, Munaa juga sedang mempelajari bahasa Thailand dan merancang untuk mendalami bahasa Arab pada masa hadapan.
Bahasa bukan sahaja untuk kerja, tetapi juga untuk kehidupan harian. Kelebihan tahu lebih daripada satu bahasa adalah peluang kerja terbuka lebih banyak.
“Juga memudahkan untuk saya jika melancong ke luar negara. Tidak rugi pun jika belajar banyak bahasa kerana di akhirnya yang untung adalah kita sendiri,” luah Munaa. – HIBGLAM