Empat idola K-pop ‘trendsetter’ fesyen lelaki

BUDAYA pop Korea tidak pernah terpisah daripada aura glamor dan dunia fesyen.

Tatkala muzik mereka bergema hingga ke seluruh pelosok dunia, gaya idola menjadi rujukan jutaan peminat dalam menentukan arah trend semasa.

Dari pentas konsert mega hingga barisan hadapan pertunjukan fesyen, wajah-wajah selebriti lelaki Korea ibarat papan iklan bergerak yang mentafsirkan semula maksud gaya kontemporari.

Setiap langkah mereka ibarat naratif visual yang mendorong industri fesyen global untuk bernafas dalam rentak baharu.

Keberanian mencabar sempadan serta daya tarikan hebat menjadikan mereka ‘arkitek’ gaya abad ini.

Kimchi Panas minggu ini menampilkan empat figura lelaki Korea yang bukan sahaja menjulang nama dalam muzik, tetapi tutut menakluk dunia fesyen dengan aura luar biasa.

G-Dragon

Menggelar Kwon Ji-yong atau lebih dikenali sebagai G-Dragon sekadar ikon fesyen terasa terlalu kecil untuk menggambarkan kehebatannya.

Sejak awal kemunculannya bersama BigBang, idola berusia 37 tahun itu sudah membuktikan bahawa fesyen bukan sekadar pakaian tetapi medium seni dan identiti diri.

Gayanya tidak mengenal batas, dari streetwear berinspirasikan punk ke sut mewah penuh perincian, setiap helaian sarat dengan jiwa eksperimental.

Pelantun lagu Power itu mampu menjadikan jaket tweed Chanel tampak urban dengan padanan but kombat atau menyuntik neon terang dalam busana serba hitam. Semua itu digayakan dengan keyakinan penuh karisma.

Lantaran itu, tidak hairan jika setiap penampilannya sering menjadi rujukan pereka fesyen global.

J-Hope

Dalam kalangan anggota BTS, nama J-Hope sentiasa disebut sebagai Raja Street Luxe.

Mana tidaknya, dia menjadikan ‘street’ sebagai pentas, manakala pentas fesyen pula permainannya. Gabungan kedua-dua itu menjadi gaya eksklusif miliknya.

Pelantun lagu Mona Lisa itu gemar bereksperimen dengan palet warna berani, potongan tidak konvensional dan siluet luar jangkaan.

Menariknya, akaun Instagram milik idola berusia 31 tahun itu ibarat galeri seni fesyen, diisi dengan knitwear Loewe, bunny slippers Coach hingga helaian avant-garde yang mencabar norma.

Keberanian J-Hope mengekspresikan diri melalui fesyen mencerminkan semangatnya di atas pentas yang penuh tenaga, tanpa kompromi dan sentiasa berbeza.

Dia tidak pernah takut untuk dilihat pelik, daripada situlah lahir keistimewaan. Dunia melihatnya bukan sekadar penyanyi tetapi trendsetter yang mengajar bahawa fesyen adalah kebebasan mutlak.

Mingyu

Mingyu yang menganggotai kumpulan Seventeen bagaikan dicipta untuk dunia fesyen.

Dengan susuk tinggi lampai bak peragawan dan wajah penuh karisma, setiap penampilannya memberi impak seolah-olah helaian itu mencapai kesempurnaan di tubuhnya.

Idola berusia 28 tahun itu gemar menyarung sut double-breasted rapi, seluar potongan lebar dan kemeja-T ringkas yang digayakan dengan kemas.

Kesederhanaan dalam pilihannya mencetuskan pesona sofistikated.

Gaya segak jejaka itu juga menjadikannya mudah diterima dalam dunia fesyen antarabangsa.

Sama ada melangkah ke acara jenama mewah mahupun sekadar bergambar santai, aura bintangnya sentiasa terpancar.

Felix

Felix daripada kumpulan Stray Kids membuktikan definisi maskulin bukan hanya tentang kekuatan fizikal tetapi juga kelembutan yang memikat.

Wajah androgynous berpadu dengan suara bariton yang unik menjadikan dirinya lambang kualiti menawan.

Dalam gaya peribadi, Felix sering menyatukan sisi lembut dan keras. Kadangkala dia tampil dalam blazer berstruktur, sesekali pula memilih vest berinspirasikan korset yang menonjolkan keberaniannya.

Justeru, tidak hairanlah Louis Vuitton sering menjadikannya wajah utama koleksi lelaki.

Setiap helaian yang digayakan idola berusia 24 tahun itu tampak hidup, seolah-olah direka khas untuk dirinya sahaja malah kehadirannya dalam barisan hadapan pertunjukan fesyen sentiasa mencuri perhatian lensa kamera.

Felix membuktikan bahawa fesyen adalah bahasa tanpa sempadan jantina. Aura yang dibawanya mengukuhkan kedudukannya sebagai ikon gaya generasi baharu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok