BERMULA dengan bual kosong, impian untuk menganjurkan sebuah konsert menggabungkan artis Malaysia dan Indonesia akhirnya bakal menjadi realiti.
Itu yang diakui wakil penganjur UdaraLaskhar, John Labu apabila berpeluang menggabungkan tiga genre muzik di atas sebuah pentas digelar Konsert Panggung Purnama yang akan berlangsung pada 28 September depan.
Dengan mempertaruhkan tiga pemuzik, Pamungkas, Bilal Indrajaya dan Fugo, John optimis Panggung Purnama mampu menarik perhatian peminat sekali gus menjadi konsert yang memiliki momen terbaik saat terlaksana kelak.
“Walaupun September mempunyai lambakan konsert, kami percaya Panggung Purnama akan sukses kerana produk yang dipersembahkan.
Pamungkas, Bilal Indrajaya dan Fugo mempunyai peminat dan kekuatan tersendiri. Di situ kami yakin acara ini akan ada sambutan yang baik,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

SELAKU penganjur, John Labu (kiri sekali) percaya Panggung Purnama mampu menjadi pilihan tepat buat peminat muzik.
Tambah John, kepelbagaian muzik daripada tiga penyanyi yang terlibat juga merupakan kekuatan konsert tersebut.
“Kesemua mereka akan mempersembahkan lagu-lagu mereka dengan cara tersendiri.
“Insya-Allah Panggung Purnama akan beri momen istimewa kepada pembeli tiket,” ujarnya.
Lagu baharu
Sementara Pamungkas yang akan menjadi pemuzik headliner Panggung Purnama menyiapkan ‘hadiah’ istimewa buat peminat di Malaysia.
Lebih istimewa, Pamungkas akan pertama kali akan mempersembahkan single terbaharunya di pentas konsert tersebut.
Judul lagu itu ialah Sambung yang akan pertama kali didendangkan secara langsung di Panggung Purnama,” kongsinya.
Selain Sambung, tentu sahaja Pamungkas akan membawakan ‘lagu-lagu kebangsaan’ miliknya yang telah lama menjalar dalam jiwa peminat.
Tambah Pamungkas, kekerapannya mengadakan konsert di Malaysia disebabkan sambutan baik yang diberikan para peminat di sini.
Saya kembali bukan sebab bayaran tetapi rasa rindu dan cinta pada ‘crowd’ di Malaysia.
“Semoga peminat yang hadir nanti dapat hafal lagu baru saya itu dan nyanyi bersama,” katanya yang kali terakhir membuat persembahan di sini pada konsert Latihan Pestapora Malaysia sekitar Julai lalu.
Tidak kurang hebatnya, Fugo wakil tunggal Malaysia ikut mengisi Panggung Purnama yang disifatkan anggota kumpulan ini sebagai reunion manis untuk sepentas kembali bersama Pamungkas dan Bilal Indrajaya.
Menurut Fugo yang dianggotai oleh tiga anak muda iaitu Hakim Kamal (vokalis dan pemain gitar), Kayrol Ami (pemain bass) dan juga Fai (pemainkeyboard), Panggung Purnama disifatkan sebagai pentas untuk mengekspresikan seni yang sudah dihasilkan mereka sejak 2020.
“Kami terima tawaran untuk konsert ini sebab merasakan Panggung Purnama adalah platform terbaik untuk memperkenalkan lagi jenama Fugo di sini dan Indonesia juga.
Konsert ini ibarat satu pertukaran seni sesama penyanyi. Bila dapat tahu ‘lineup’ lain Pamungkas dan Bilal, memang terus terima sebab karya muzik dua penyanyi itu sangat luar biasa, teruja dapat satu pentas dengan mereka,” jelas Kayrol.
Katanya, mereka akan membawakan lebih lima lagu pada acara tersebut.
Tiket-tiket dengan kategori Bintang (RM179), Langit (RM199), Awan (RM249), Bumi (RM239) dan Purnama (RM399) boleh diperolehi menerusi www.ilassotickets.com. – HIBGLAM