‘Hanya satu kesilapan, saya dihukum seolah-olah pendosa paling jijik’

SERING dipandang hina, pelakon Haneesya Hanee meluahkan rasa kesal apabila kesalahan masa silamnya sentiasa dijadikan modal maki hamun netizen sedangkan ramai sahaja selebriti lain melakukan perbuatan sama.

Ujar Haneesya atau nama sebenarnya Sharifah Haneesya Hanee Sayed Sahlan, 25, insiden hitam ketika usianya baru menginjak 18 tahun sudah terlalu lama berlalu, namun bayangan peristiwa itu masih menghantuinya hingga kini.

“Impaknya terlalu besar dan paling sakit adalah sikap pilih kasih. Orang lain juga pernah tular dengan perkara jauh lebih teruk, skandal yang lebih menjelikkan, namun mereka masih dapat berlakon, terus disokong.

Tapi saya? Ketika itu baru berusia 18 tahun, masih anak remaja. Hanya satu kesilapan, namun saya dihukum seolah-olah pendosa paling kotor, paling jijik.

“Berlambak sahaja selebriti lain yang menjadi pujaan ramai juga pernah ke kelab. Bezanya, aib mereka tertutup, sedangkan saya terdedah luas,” katanya dalam Instagram Story.

Maruah seperti dipijak-pijak, pelakon drama Aku Bukan Ustazah itu mengakui pernah terdetik untuk membalas dendam dengan mendedahkan wajah artis lain yang turut terjebak dengan kesilapan sama namun dipendam dek enggan menjadi manusia keji seperti mereka.

“Ada masa saya terlalu murung, marah dan kecewa. Terlintas nak pergi kelab, rakam wajah satu-satu artis, kemudian sebarkan semua. Saya fikir bila buat begitu, hati akan puas.

Sampai sekarang saya masih simpan bukti. Ada orang hantar gambar, ada tangkap layar. Saya simpan, tapi tidak pernah dedahkan sesiapa kerana percaya karma dan kifarah itu nyata. Saya tidak mahu jadi seperti orang yang pernah hancurkan saya,” luahnya.

Paling penting kataNya,  dia tidak pernah meminta simpati sebaliknya hanya mahu khalayak berhenti mengungkit kisah lama supaya dirinya benar-benar bebas dan tidak dibelenggu tekanan.

“Saya rasa terpaksa buktikan diri ini baik semata-mata nak dapat pengampunan daripada orang asing. Sedangkan saya bukan penjenayah, saya bukan pembunuh. Tetapi sampai hari ini masih ada yang ungkit tanpa tahu cerita sebenar.

Saya tak minta simpati. Saya tak minta mahkota itu kembali. Saya cuma mahu kebenaran, difahami agar saya boleh benar-benar lepaskan semua ini.

“Kepada sesiapa yang cipta akaun palsu, sebarkan video itu, seronok melihat saya jatuh, saya harap awak puas hati. Walau apa pun, saya masih di sini berdiri teguh,” tulisnya.

Terdahulu, sekitar 2018 nama Haneesya menjadi perhatian selepas sebuah video memperlihatkan dia bersama rakan-rakan di sebuah kelab malam tular dalam media sosial.

Kesan daripada kejadian itu amat besar apabila gelaran juara Dewi Remaja dirampas daripadanya selain beberapa tawaran lakonan turut dibatalkan. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok