SETIAP kali menyambut kemerdekaan, rakyat Malaysia lazimnya berkumpul di Dataran Merdeka, sekitar KLCC atau lokasi tumpuan lain untuk menyaksikan tembakan bunga api sebagai simbolik meraikan Hari Kebangsaan.
Ada juga yang memilih menikmati momen santai di rumah atau mencari kelainan menonton konsert artis kegemaran yang diadakan bertepatan malam merdeka.
Kebetulan tahun ini, penyanyi antarabangsa Maher Zain kembali ke Malaysia menerusi konsert The Journey to the Far East: Maher Zain – The Live Experience, selepas enam tahun tidak beraksi di sini.
Konsert anjuran Yayasan Tengku Abdullah dengan kerjasama Hitman Solutions dan Happymoon disambut meriah dengan kehadiran sekitar 5,000 penonton variasi usia.

KEHADIRAN Maher sekali lagi membuktikan popularitinya di Malaysia masih utuh dan terus mendapat sambutan luar biasa.
Sorakan bergema tepat pukul 8.30 malam sebaik penyanyi berdarah Sweden-Lubnan itu membuka tirai dengan lagu popularnya, Assalamu Alayka.
Tidak hanya mempersembahkan seleksi hits, Maher bijak menyapa peminat, sekali gus menunjukkan keakrabannya tanah ini.
Mengakui hatinya semakin dekat dengan rakyat dan budaya negara ini, kata Maher, adab dan sikap saling menghormati masyarakat Malaysia amat dikaguminya.
“Saya sukakan Malaysia sebab masyarakatnya sangat pentingkan akhlak.
Itu perkara yang sangat indah. Contohnya, sekiranya mahu berjalan di hadapan seseorang, mereka akan tunduk tanda hormat,” ujarnya disambut tepukan.
Penyanyi berusia 44 tahun itu turut memuji konsistensi Malaysia memperjuangkan hak Palestin dan sentiasa menunjukkan solidariti dalam isu kemanusiaan sejagat.
Semangat juang sebegitu wajar menjadi contoh negara lain, sekali gus membuktikan pentingnya kepimpinan yang berani bersuara menentang Zionis.
Kita perlukan lebih ramai pemimpin dan rakyat seperti Malaysia, yang bangkit menegakkan keadilan serta menentang penindasan di banyak negara terutama Palestin,” katanya.
Bahasa Melayu
Tidak membuang masa, Idea Live Arena, Damansara yang menjadi gelanggang konsert bergema pula dengan lagu InshaAllah, Alayka Salla Allah, Baraka Allahu Lakuma, Close To You dan For The Rest of My Life.
Seperti sedia maklum, For The Rest Of My Life mempunyai versi bahasa Melayu, bahkan Maher tidak mengecewakan peminat dengan melantunkan beberapa bait versi tersebut.
Saya ada lupa lirik dan sepatutnya memperbanyakkan latihan sebenarnya. Semasa di atas pentas, saya tahu beberapa perkataan asas sahaja. Dengan bantuan iPad saya dapat menyampaikan lagu itu dengan baik.
“Saya juga berharap kalian memahami sebutan saya dan harap tak terlalu janggal,” jelasnya semasa sempat meluangkan masa dengan media usai konsert.

PERSEMBAHAN Maher Zain bukan sahaja menghiburkan, malah memberi mesej ketenangan dan inspirasi kepada peminat.
Kebetulan dalam proses pembikinan album baharu, namun belum sedia memperincikan projek tersebut lebih lanjut, Maher berkata, menerusi lagu-lagu ketuhanan, dia berharap suara kecilnya itu mampu mengubah persepsi masyarakat Barat agar lebih terbuka terhadap Islam.
“Inspirasi yang paling besar adalah Islam yang merupakan kepercayaan saya. Saya selalu buat lagu tentang Nabi Muhammad SAW, insan paling agung.
Di Barat ada kebencian dan penindasan terhadap Muslim. Orang memandang serong, khususnya apabila ada wanita berjalan dengan berhijab dan sebagainya.
“Jadi, saya sentiasa cuba mengingatkan mereka supaya berasa bangga. Berjalanlah dengan penuh yakin dan tunjukkan kekuatan seorang Muslim,” jelasnya. – HIBGLAM