MENEBUS kekecewaan dilalui pada November tahun lalu, penyampai radio Hot FM Fara Fauzana akhirnya dapat menakluk Gunung Kinabalu di Sabah tepat pukul 6 pagi semalam.
Personaliti popular berusia 45 tahun itu berkata, pendakian untuk menyempurnakan misi ke puncak tertinggi di Malaysia mengambil masa sekitar tiga jam dari Laban Rata.
“Ini merupakan pencapaian peribadi saya pada usia 45 tahun dan lebih kepada kepuasan untuk diri sendiri, bukannya mahu buktikan kepada sesiapa.
“Ibaratnya misi ini juga mencabar kemampuan diri memandangkan saya pernah menjalani pembedahan di lutut,” katanya.
Menurut penyampai segmen pagi Bekpes Hot itu, kejayaannya juga adalah atas sokongan berterusan pasukan serta pengurusan stesen radio Hot FM.
Sementara itu, laman sosial rasmi stesen radio berkenaan berkongsi potongan video pemilik nama lengkap
Farah Fauzana Mohd. Fadzil itu berada di puncak gunung.
Kepuasan jelas tergambar pada wajahnya sewaktu menunjukkan latar lokasi yang mendorongnya melakukan persediaan rapi sejak tahun lalu.
“Kita kongsi momen Fara Fauzana sampai di puncak Kinabalu pagi tadi (Rabu).
“Kalian ingat tak masa Bekpes Hot Tawan Kinabalu tahun lepas, kita ada buat satu video transisi, Johan, AG, KJ dan Fara letak telefon dalam beg di pintu masuk utama Gunung Kinabalu.
“Tapi bila buka balik beg hanya Johan, AG dan KJ yang ada. Kali ini kita nak ‘remake’, sebab Fara dah berjaya sampai puncak,” tulis kapsyen pada hantaran video tersebut.
Akhir 2024, pasukan Bekpes Hot mencatat sejarah menerusi kempen Bekpes Hot Tawan Puncak Kinabalu yang dicatatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai Siaran Radio Tanpa Henti Terpanjang di Gunung Kinabalu.
Pendakian pada 14 dan 15 November itu disempurnakan Khairy Jamaluddin atau KJ, Johan dan AG bersama rakan ekspedisi lain termasuk Datuk Muqharabbin Mokhtarrudin.
Fara pula terpaksa menghentikan pendakian setakat Laban Rata berikutan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.
Detik paling menyentuh hati dan sarat emosi namun menyuntik inspirasi kepada pendengar radio itu adalah ketika Fara menangis selepas terkilan tidak dapat menamatkan pendakian ke ke puncak setinggi 4,095 meter itu. – HIBGLAM