‘Dron atas kepala, doakan misi kami ke gaza dapat diteruskan’

PELAKON Ardell Aryana berkongsi detik cemas apabila kapal yang dinaikinya bersama pasukan misi kemanusiaan ke Gaza dihampiri sebuah dron, semalam.

Ardell atau nama sebenarnya, Nurul Hidayah Mohd Amin, 35, memaklumkan mereka diminta bersedia dengan pasport masing-masing selepas menerima arahan daripada kapten kapal.

Pukul 10.26 malam, kami terpaksa terburu-buru pakai kasut untuk keluar sebab ada dron atas kepala kami.

“Doakan kami supaya kapal dinaiki dapat meneruskan misi.

“Kami diminta oleh kapten untuk sediakan pasport dan naik ke atas kapal,” katanya dalam sebuah rakaman menerusi Instagram Cinta Salam Malaysia.

Dalam masa sama, Ardell menyatakan keadaan kembali terkawal dan menyifatkan dron tersebut mungkin sekadar pemantau dari negara berdekatan.

“Alhamdulillah, semuanya selamat. Kami percaya ini hanyalah dron pemantau dari negara-negara terdekat.

Apapun, menghantar dron ke arah kapal yang membawa misi kemanusiaan adalah bentuk psikologi untuk melemahkan para peserta,” jelasnya.

Selain itu, isteri kepada pelakon Nadzmi Adhwa itu menitipkan doa buat keluarganya di tanah air dan berjanji membawa semangat anak-anaknya untuk disalurkan kepada kanak-kanak di Gaza.

“Semoga pasukan-pasukan saya dalam keadaan baik, kami terpisah.

“Bagi anak-anak, saya bawa semangat mereka untuk anak-anak di Gaza.

Untuk mama, insya-Allah kalau lepas masuk ke Gaza saya akan peluk anak-anak kecil di sana seperti saya peluk mama,” ujarnya.

Sementara itu, penyanyi Zizi Kirana turut berkongsi mengenai insiden kapal didatangi dron sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan semua peserta dan anak kapal misi terbabit.

Sebelum ini, Zizi dan Ardell tiba di Sepanyol dalam misi ke bantuan ke Gaza bersama pertubuhan Sumud Nusantara yang digerakkan dari Malaysia bersama tujuh negara lain termasuk Indonesia, Thailand, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Filipina dan Maldives.

Dalam misi tersebut, delegasi berlayar melalui Laut Mediterranean bersama puluhan kapal yang turut disertai 44 negara lain.

Misi tersebut merupakan satu usaha bersejarah yang menghimpunkan rakyat dunia untuk memecahkan sekatan haram rejim Israel terhadap Gaza.

Difahamkan mereka akan berkumpul di Tunisia terlebih dahulu untuk menjalani sesi latihan sebagai persediaan sekiranya berdepan serangan daripada tentera Israel seperti yang berlaku dalam beberapa misi sebelum ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok